Pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menyifatkan kehadiran dua pemain naturalisasi baharu iaitu Liridon Krasniqi dan Guilherme De Paula mampu membantu meningkatkan kualiti skuad Harimau Malaya di peringkat antarabangsa.

Beliau turut mengesahkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sudah pun menghantar nama dua pemain tersebut ke Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk proses kerakyatan dan kini perlu menunggu lampu hijau supaya mereka dapat menyarung jersi skuad Harimau Malaya.

“Apa yang penting, FAM sudah meminta kerakyatan untuk kedua-dua pemain itu. Kita tunggulah bagaimana keputusan tersebut. Jika ia positif, saya akan melihat bagaimana untuk mengawal kedua-dua pemain itu,” katanya dalam Stadium Astro

Namun, timbul keraguan dalam kalangan peminat bola sepak tempatan yang berasakan De Paula tidak layak mewakili negara kerana faktor usia. Tahun ini, beliau berusia 33 tahun dan sudah mempunyai pengalaman beraksi dengan 18 buah kelab sepanjang karier bola sepaknya.

Bagaimanapun, Tan Cheng Hoe berpendapat pemain “kuda tua” itu tetap ada keperluannya dalam skuad negara kerana mempunyai kelebihan dari segi fizikal.

“Daripada segi fizikal dan penyudah daripada De Paula, dia mampu memberi penyelesaian di bahagian depan kami. Liridon pula mempunyai karakter yang baik di atas padang. Dia mempunyai sikap tidak mengaku kalah dan mempunyai kerajinan yang tinggi,” tambahnya.

naturalisasi
Guilherme De Paula dan Liridon Krasniqi

Beliau juga lega pendekatannya dalam formasi 4-3-3 berjaya memikat hati FAM untuk diterapkan dalam bola sepak moden yang telah dilancarkan sebagai DNA baru bola sepak negara.

“Inilah cara bola sepak moden untuk masa depan kerana saya melihat banyak negara seperti Jepun atau Qatar juga menggunakannya. Sebab itu kami lihat peningkatan yang terbaik daripada mereka, terutama sewaktu Qatar menjuarai Piala Asia baru-baru ini,” katanya.

Bekas pengendali Kedah itu juga menegaskan apa yang dibawa olehnya kali ini lebih mudah untuk diterima dan seiring dengan perkembangan bola sepak Asia khususnya.

“Bukan saya kata jurulatih sebelum ini tidak bagus tetapi kami tidak mempunyai satu acuan atau DNA Malaysia tersendiri. Diharapkan semua peringkat umur sudah faham apabila menyertai skuad negara satu hari nanti.”

Sumber