Pemain naturalisasi negara, Liridon Krasniqi kembali beraksi di atas padang apabila membuat penampilan sulung dalam saingan Liga Thailand (Thai League 1) bersama pasukannya, Khon Kaen United menentang Port FC sabtu lepas.

Khon Kaen ketinggalan 4-0 di separuh masa kedua namun kemasukan Liridon pada minit ke 80 telah mengubah rentak permainan pasukan tersebut sehingga berjaya menjaringkan satu gol di minit akhir perlawanan.

Kekalahan ini meletakkan Khon Kaen United di tangga ke-11 liga selepas mengharungi 5 perlawanan pada musim 2022-23. Liridon menyertai kelab tersebut secara pinjaman daripada Johor Darul Ta’zim (JDT).

Pemain berusia 30 tahun itu sebelum ini beraksi bersama kelab Liga Super India, Odisha FC sehingga tempoh pinjamannya tamat pada 30 Jun lalu. Malah, bekas pemain Kedah itu turut diiktiraf sebagai ‘Raja Gelecek’ Liga Super India (ISL) untuk musim 2021/22.

Berdasarkan statistik yang dikongsi oleh ISL pada 24 Februari lalu, Liridon memiliki purata 91.67% kejayaan melepasi lawan hasil skil individunya itu.

Selain itu, beliau turut digelar sebagai ‘The General’ di kalangan pengikut ISL dimana beliau membuat 16 penampilan secara keseluruhan untuk kelab yang berpengkalan di Bhubaneswar sepanjang musim lepas.

Sebelum ke India, Liridon telah dipinjamkan ke Newcastle Jets selama enam bulan dan sempat merasai pengalaman beraksi sembilan perlawanan dalam kancah Liga Australia (A-League).

Beliau juga sempat dipanggil menyertai skuad kebangsaan dibawah kendalian Kim Pan-gon bulan Mac lalu ketika Malaysia menghadapi tiga perlawanan persahabatan antarabangsa di Singapura dengan menentang tuan rumah selain Filipina dan Albirex Niigata Singapore dimana beliau menjaringkan dua gol.

Bagaimanapun, nama beliau digugurkan daripada senarai akhir 23 pemain untuk menghadapi kempen Kelayakan Piala Asia 2023.

Tidak mustahil beliau kembali dipanggil menyertai kem latihan pusat skuad Harimau Malaya jika mempamerkan prestasi cemerlang dalam saingan Liga Thailand.