Pemain naturalisasi negara, Liridon Krasniqi atau dikenali sebagai Mat Don membuat penampilan sulung bersama Terengganu FC (TFC) dalam perlawanan persahabatan menentang kelab Denmark, Odense Boldklub di Stadium BG Pathum, Bangkok semalam.

Beliau baru sahaja diumumkan menyertai TFC secara pinjaman dari kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan kontrak satu tahun.

Dalam perlawanan menentang Odense, Mat Don bermula daripada bangku simpanan dan diturunkan pada minit ke 59 menggantikan tempat pemain import Thailand, Adisak Kraisorn.

Namun begitu, skuad kendalian Tomislav Steinbruckner itu tewas 0-2 kepada Odense Boldklub dan rata-rata penyokong TFC menyifatkan Liridon masih dalam proses untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan pasukan.

Ini adalah untuk memastikan beliau dapat membantu pasukan Terengganu memburu kejuaraan dalam saingan Liga Malaysia dan Piala AFC. Mat Don juga bakal memakai jersi bernombor 80 memberikan lebih pilihan di bahagian tengah pasukan itu.

Terengganu merupakan kelab keempat Liga Malaysia disertai oleh pemain yang berusia 31 tahun itu. Selain JDT, beliau pernah menyarung jersi Kedah Darul Aman ketika dibawah bimbingan Tan Cheng Hoe serta Melaka United.

Pada tahun 2021, Mat Don sempat merasai pengalaman beraksi dalam 9 perlawanan A-League apabila dipinjamkan ke Newcastle Jets selama 6 bulan.

Kemudian, beliau menyertai kelab Liga India iaitu Odisha dan diiktiraf sebagai ‘Raja Gelecek’ Liga Super India (ISL) untuk musim 2021/22. Berdasarkan statistik yang dikongsi oleh ISL, Liridon memiliki purata 91.67% kejayaan melepasi lawan hasil skil individunya itu.

Malah, beliau turut digelar sebagai ‘The General’ di kalangan pengikut ISL dimana beliau membuat 16 penampilan secara keseluruhan untuk kelab yang berpengkalan di Bhubaneswar sepanjang musim.

Sejak itu, Liridon dipanggil menyertai skuad kebangsaan dibawah kendalian Kim Pan-gon menghadapi tiga perlawanan persahabatan antarabangsa di Singapura dengan menentang tuan rumah selain Filipina dan Albirex Niigata Singapore dimana beliau menjaringkan dua gol.

Bagaimanapun, nama beliau digugurkan daripada senarai akhir 23 pemain untuk menghadapi kempen Kelayakan Piala Asia 2023 tahun lepas.

Bersama Terengganu merupakan peluang terbaik beliau untuk kembali memikat Kim Pan-gon dan mendapatkan lebih banyak minit permainan apatah lagi skuad penyu bakal beraksi dalam saingan Piala AFC musim ini.