Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) mengesahkan seramai lima orang murid sekolah rendah termasuk seorang perempuan di negeri ini telah terpilih mewakili Malaysia dalam Kejohanan Bola Sepak MILO Champions Cup di Barcelona.

Lima pemain tersebut ialah, Adam Muqhriz Mohd. Izham, 12; Aqil Danish Putra Rozaidi, 12; Amriel Nu’man Kamarul Azman, 12; Muhammad Imtiyaz Syafi Ghazali, 12, dan Nur Alya Marissa Al Fatah, 11. Mereka adalah antara lapan pemain yang akan terbang ke Sepanyol pada 28 Julai ini.

Selain Malaysia, antara pasukan yang menyertai kejohanan itu termasuklah Indonesia, Thailand, Chile, Jamaica, Colombia, Vietnam, Sri Lanka, Trinidad & Tobago dan pasukan-pasukan dari negara Afrika.

67403938_2621280607904400_8551190319088009216_n
FOTO: KFA

Menteri Besar Kedah dan juga Presiden KFA, YAB Dato’ Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir turut menyampaikan sumbangan kepada lima pemain muda itu dan berharap mereka tampil cemerlang dalam kejohanan itu sehingga menarik minat pasukan luar.

“Kita harap kesemuanya akan bermain dengan cemerlang di Barcelona nanti juga dengan penuh semangat kesukanan dalam kejohanan melibatkan 13 pasukan dari seluruh dunia yang akan bermain di Barcelona itu.

”Dan suka saya umumkan bahawa kerajaan negeri Kedah akan menyumbangkan sebanyak seribu ringgit kepada setiap pemain dari Kedah ini,” katanya.

Pengurus Perancangan Acara MILO Malaysia, Noor Misbah berkata, MILO komited untuk memupuk gaya hidup aktif dalam kalangan rakyat di bawah kempen MILO Aktif Negaraku dengan menyatukan kesemua program sukan akar umbi MILO seperti MILO Hidup Bola, Activ Jam dan Champions Clinic.

“Champions Cup merupakan kesinambungan usaha MILO untuk menginspirasi lebih ramai lagi rakyat Malaysia khususnya kanak-kanak untuk kekal aktif,” katanya.