Laporan Arena Metro pada hari ahad lepas mendedahkan terdapat sekurang-kurangnya lima pasukan Liga Malaysia (Liga M) sedang berdepan masalah untuk melunaskan tunggakan gaji yang membabitkan pemain import.

Pemain import tersebut akan membuat aduan kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) jika pasukan gagal menyelesaikan tunggakan gaji seperti yang dipersetujui dalam kontrak.

Kegagalan menyelesaikan tunggakan gaji tersebut turut menyebabkan pasukan ini berdepan risiko digantung oleh badan induk bola sepak dunia dan terus berkubur seperti pasukan Perlis.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam menjelaskan pihaknya sedia memberi khidmat nasihat kepada mana-mana pasukan yang terlibat dengan isu tunggakan gaji.

“FAM bersedia memberikan khidmat nasihat kepada pasukan apabila mereka berhadapan dengan tuntutan daripada pemain import menerusi FIFA.

“Ada terma tertentu yang mungkin pasukan atau kelab terlepas pandang seterusnya FAM boleh memberi khidmat nasihat sewajarnya bagi mengelak mereka dikenakan tindakan atau hukuman lebih berat,” katanya.

UAE
Sumber Gambar: FAM

Baru-baru ini, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) diarahkan oleh FIFA untuk membayar tunggakan gaji bekas pemain import mereka sebelum ini Cassio Francisco de Jesus berjumlah USD145,944.60 atau sekitar RM631,000.

Malah lebih mengejutkan, terdapat tujuh lagi kes tunggakan gaji membabitkan bekas pemain import dan pegawai pasukan itu sangkut di FIFA dengan jumlah tunggakan kira-kira RM4 juta.

Selain Kelantan, PDRM, Terengganu, Melaka United dan terbaharu Kedah turut terpalit dengan isu tunggakan gaji sebelum saingan Liga Malaysia ditangguhkan kerana wabak pandemik.

Melihat kepada situasi semasa, PDRM masih lagi membuat pembayaran secara ansuran kepada pemain mereka termasuk awang import dengan nilai keseluruhan lebih setengah juta.

Melaka pula baru-baru ini dipalit dengan isu kegagalan membayar tunggakan gaji tahun lalu berjumlah RM800,000 selain turut menanggung hutang.

Skuad Terengganu dikhabarkan masih lagi gagal menjelaskan tunggakan gaji bekas pemain sejak tahun 2018, selain caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta cukai pendapatan.

Baca artikel lain mengenai isu tunggakan gaji yang melibatkan beberapa pasukan Liga Malaysia seperti dilaporkan sebelum ini.

MUSA Lunaskan Tunggakan Gaji Pemain Bagi Bulan Februari

Pemain Kedah Baru Terima 50 Peratus Gaji Februari, Mac Dan April Masih Tertunggak

Skuad Piala Belia Dan Piala Presiden Kelantan 2019/2020 Pula ‘Mengadu’ Tidak Dibayar Gaji Di Media Sosial