Bekas pengarah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Lim Teong Kim menegaskan beliau tidak mempunyai sebarang dendam dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Dalam satu sidang media pada minggu lalu, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin menyatakan Teong Kim memiliki sedikit ketidakpuasan hati terhadap dirinya dan pihak FAM selepas kontraknya sebagai ketua jurulatih skuad B-16 tahun negara tidak disambung namun menurutnya ia adalah keputusan bersama ramai pihak.

Datuk Hamidin berkata beliau bersedia untuk berjumpa dengan Teong Kim jika tujuannya adalah untuk memajukan bola sepak negara dan bukannya publisiti.

Lim Teong Kim
Datuk Hamidin Mohd Amin

“Saya dan exco boleh berjumpa dengan Lim Teong Kim pada bila-bila masa, bukan dia saja, sesiapapun boleh kerana kita sama-sama nak naikkan bola sepak Malaysia.

“Jadi bila-bila masa saja saya boleh berjumpa dengan beliau, tidak menjadi masalah tetapi saya harap ia bukan untuk tujuan publisiti,” kata Datuk Hamidin.

Ketika ditanya soalan sama ada beliau menyimpan dendam dengan badan induk bola sepak negara itu, Teong Kim menafikan perkara tersebut namun beliau mengakui tidak berpuas hati dengan cara FAM mengendalikan bola sepak Malaysia.

Lim Teong Kim
Lim Teong Kim

“Saya seorang jurulatih yang profesional dan juga ahli sukan, saya tidak menyimpan sebarang dendam terhadap dia (Datuk Hamidin) atau FAM kerana menamatkan kontrak saya sebagai ketua jurulatih skuad B-16 tahun negara.

“Tetapi saya tidak setuju dengan cara mereka menguruskan bola sepak di negara ini,” kata Lim Teong Kim.

Teong Kim terus memberikan pandangan mengenai situasi semasa bola sepak negara setelah Malaysia mengalami kegagalan dalam saingan Piala AFF Suzuki 2020 yang berakhir awal tahun ini.

Sebelum ini, bekas ketua jurulatih skuad B-19 tahun Bayern Munich itu menyalahkan FAM dan pengelola Liga Malaysia, Malaysian Football League (MFL) di atas kegagalan pasukan negara memberi cabaran dalam kumpulan B sekaligus tidak layak ke peringkat separuh akhir.

Selain itu, beliau juga pernah bertikam lidah dengan Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B.Satiananthan dimana beliau pernah melabel Satia sebagai jurulatih yang tidak faham mengenai sistem pembangunan dalam kancah bola sepak Malaysia.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia di sini:

Tiada Lagi Zainal Abidin, Melaka United Umum Risto Vidaković Sebagai Ketua Jurulatih Baharu

Piala AFF B-23: Wan Kuzri Kembali Sertai Kem Latihan Pusat Skuad Malaysia

Datuk Hamidin Jelaskan Sebab Sebenar Sumareh Tolak Panggilan Ke Skuad Kebangsaan