Ketua jurulatih Perak, Lim Teong Kim mengakui tidak berhasrat untuk membawa masuk ramai pemain import bagi dijadikan sandarannya dalam menghadapi kempen Liga Super 2023.

Teong Kim yang sedang giat membangunkan semula skuad Perak daripada episod hitam dua musim terakhir kini sudah memiliki Sunday Kolawole Afolabi dan Luciano Guaycochea.

Pemain kelahiran Nigeria dan Argentina itu dikekalkan dengan lanjutan kontrak selama dua musim selepas mula menyertai Perak pada pertengahan musim ketika skuad Yob dibimbing Yusri Che Lah.

Sehubungan dengan itu, Teong Kim kelihatan seperti sudah berpuas hati dengan barisan dimilikinya dan enggan membawa masuk ramai pemain import ke dalam pasukannya.

Beliau jelas tidak mahu ‘terpengaruh’ dengan kebenaran setiap pasukan boleh menyenaraikan sehingga sembilan orang pemain import dalam saingan Liga Super musim hadapan.

“Ada [kehadiran pemain import baharu] tetapi belum tentu lagi,” ujar Teong Kim bercakap kepada wakil Vocket FC di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, malam tadi.

Kredit Foto: Perak Football Club

“Mungkin ada dan berkemungkinan juga tiada. Tetapi sekiranya ada memang kita tidak akan mengambil ramai pemain. Mungkin seorang pemain sahaja.”

Mengulas lanjut mengenai keadaan itu, Lim Teong Kim memberikan bayangan bahawa penyerang import bakal menjadi pilihan beliau sekiranya ada pemain baharu yang akan menyertai Perak.

Seperti dilaporkan sebelum ini, Teong Kim menegaskan mahu memberikan lebih banyak minit perlawanan kepada pemain tempatan khususnya pemain muda bagi membuktikan kemampuan berbanding memikirkan untuk membawa masuk ramai pemain import.

Dalam perkembangan lain, Perak mencatatkan kemenangan kedua berturut-turut dalam aksi persahabatan selepas menundukkan pasukan Liga M3, Manjung City FC dengan keputusan 3-1 hasil jaringan Alif Zikri Zaini Anuar (dua gol) dan Muhammad Amirul Husaini Zamri.

Minggu lalu, Perak berjaya menundukkan pasukan dari Thailand, Young Singh Hatyai 4-2.