Ketua jurulatih pasukan Perak, Lim Teong Kim mahu penyerang skuad kebangsaan, Syafiq Ahmad untuk beraksi bersama pasukan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim hadapan.

Teong Kim berkata demikian ketika satu sesi rancangan bual bicara bersama pengurusan pasukan di Facebook semalam dimana beliau menegaskan fokusnya bagi musim hadapan ialah mendapatkan pemain tempatan berpotensi yang tidak mendapat tempat bersama pasukan lain.

“Kalau kamu boleh bawa semua pemain-pemain tempatan, saya akan ambil semua. Tetapi bukan senang nak ambil pemain-pemain tempatan yang baik kerana banyak kekangan yang perlu kita lalui. Tetapi dari sekarang saya nak Syafiq Ahmad,” katanya.

Pada masa yang sama, Lim Teong Kim gembira dengan perkembangan yang ditampilkan oleh pemain muda pasukan dimana mereka menunjukkan disiplin yang tinggi ketika sesi latihan.

“Saya boleh lihat bahawa ramai pemain-pemain muda mempunyai sikap yang baik. Tak ada masalah dengan bola sepak kerana saya boleh mengajar mereka. Itu adalah tugas saya untuk mengajar mereka bermain bola sepak,” tambahnya.

Bekas pengarah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) itu menyatakan betapa pentingnya untuk memberi peluang kepada pemain tempatan beraksi bagi menjamin masa depan bola sepak negara yang lebih cakap.

“Saya nak tekankan di sini saya mahu memberi peluang kepada pemain tempatan untuk beraksi, mengumpul minit permainan dan juga mendapat pengalaman kerana semua ini perlu untuk masa depan mereka.

Perak bakal beraksi dalam saingan Liga Super musim hadapan dimana saingan divisyen pertama liga bola sepak negara itu akan memiliki 18 buah pasukan bertanding berbanding 12 pasukan dan enam pasukan dari Liga Premier akan dinaikkan bagi mencukupka kuota.

Kali terakhir Perak beraksi dalam saingan Liga Super ialah pada musim 2021 namun musim tersebut menjadi musim terburuk dalam sejarah pasukan apabila mereka menamatkan saingan di zon penyingkiran sekaligus tersingkir ke saingan Liga Premier musim ini.