Bekas pengarah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Lim Teong Kim menyalahkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Malaysian Football League (MFL) di atas kegagalan skuad B-23 tahun negara melepasi peringkat kumpulan saingan AFF B-23 Tahun.

Skuad kendalian Bra Maloney tewas kepada Laos dengan keputusan 2-0 pada aksi kumpulan B sekaligus tersingkir daripada saingan apabila gagal mengutip sebarang mata selepas mengharungi dua perlawanan.

Teong Kim berpendapat punca kegagalan skuad B-23 tahun negara kali ini adalah kerana FAM dan MFL tidak mengadakan liga yang kompetitif bagi pemain remaja di Malaysia.

“Saya sudah banyak kali berkata jika FAM dan MFL tidak mengambil tanggungjawab mereka untuk menjalankan liga remaja, jangan harap bola sepak Malaysia akan maju. Pembangunan seseorang pemain mestilah melalui proses pembangunan akar umbi yang sistematik.

“Perkara ini tidak ada di Malaysia. Tetapi situasi bola sepak kita yang tidak membenarkan pemain remaja kita untuk maju. Jadi kita tidak boleh salahkan mereka. Yang salah ialah FAM dan MFL.

“Mereka yang seharusnya menyediakan landasan untuk pembangunan bola sepak di Malaysia. Apa yang perlu dilakukan ialah liga remaja, pemain import hanya perlu menggunakan tiga pemain bagi pasukan Liga Super dan Liga Premier. Pasukan pembangunan yang beraksi di Liga Premier tidak boleh ada pemain import.

“Pemain-pemain yang beraksi menentang Laos tidak boleh disalahkan kerana proses pembangunan FAM yang tiada sistem teratur. FAM memerlukan pemimpin yang mempunyai kualiti dalam memimpin, bukan seperti badut,” kata Lim Teong Kim.

Brad Maloney tidak membawa pemain utama dalam skuad kali ini dan memberikan peluang kepada muka baharu untuk beraksi bersama pasukan kebangsaan. Namun, langkah tersebut dilihat memaka diri apabila pasukan negara gagal untuk memberi saingan kepada Laos dalam dua perlawanan.

Selepas skuad B-23 tahun negara gagal, kini peminat menanti jawapan dari FAM mengenai punca utama skuad Harimau Malaya tidak dapat menampilkan prestasi terbaik dalam saingan kali ini.

Baca artikel lain mengenai perkembangan skuad B-23 tahun negara di sini:

Piala AFF B-23: Misi Hidup Mati, ‘Bungkus’ Atau Mara Ke Separuh Akhir?

Luqman Hakim Upah Jurulatih Luar Untuk Baiki Prestasi

Perlukah Kim Pan-gon Belajar Budaya Bola Sepak Malaysia?