Ketua jurulatih Perak FC, Lim Teong Kim kini bergelar Datuk apabila menerima anugerah Panglima Jasa Kuala Lumpur sempena Hari Wilayah Persekutuan hari ini.

Pengurniaan anugerah terbabit yang disampaikan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah itu sekali gus memberi gelaran Datuk kepada jurulatih berusia 59 tahun itu.

Teong Kim menerima anugerah terbabit berdasarkan kepada jasanya yang memerah keringat terhadap pembangunan bola sepak tanah air.

Berdasarkan rekod, Sebaik sahaja menamatkan kariernya sebagai pemain bola sepak pada 1995, Teong Kim mula menggiatkan dirinya dalam bidang kejurulatihan menggunakan pengalaman yang berharganya.

Beliau mempunyai pengalaman melatih selama 12 tahun dengan juara Bundesliga 10 kali, pasukan Bayern Munich Bawah 19 tahun dan melatih pemain-pemain seperti Thomas Müller, David Alaba, Toni Kroos & Emre Can.

Pengalaman beliau juga termasuk berkhidmat di Bologna FC, mengendalikan bakat seperti Nicola Sansone dan Roberto Soriano.

Di peringkat tempatan, beliau pernah memegang jawatan Pengarah Projek Program Pembangunan Bola Sepak Negara pada 2013 dan kemudian pada 2016, dilantik sebagai Pengarah Akademi Mokhtar Dahari.

Teong Kim kemudiannya dilantik mengendali Perak padam musim ini dalam usaha memberi nafas baharu buat juara lapan kali Piala Malaysia itu kembali ke era zaman kegemilangan.

Ketika karier permainannya, Teong Kim pernah beraksi buat pasukan kebangsaan sebanyak 60 kali ketika zaman kegemilangannya, iaitu pada 1982 hingga 1991.

Sepanjang tempoh itu, beliau bukan sahaja mampu melancarkan gerak geri serangan, namun dia juga berjaya menjaringkan 12 gol sepanjang 10 tahun kariernya dalam skuad kebangsaan.