Bekas Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Lim Teong Kim membidas kenyataan bekas pemain skuad kebangsaan, Rosli Hussein mengenai skuad Projek FAM-MSN yang sedang bersaing di Liga Perdana ketika ini.

Rosli sebelum ini terkilan dengan komen yang dibuat mengenai skuad tersebut dan menyifatkan segala kenyataan yang dibuat hanya mengelirukan peminat bola sepak tanah air.

Teong Kim kemudiannya manyatakan sebagai seorang yang berpengalaman luas dalam hal bola sepak remaja, beliau terpanggil untuk membela nasib pemain muda itu.

Lim Teong Kim
Lim Teong Kim

“Saya mempunyai pengalaman yang luas terhadap pembangunan bola sepak remaja. Ini tanggungjawab saya untuk melindungi pemain-pemain apabila saya melihat sesuatu perbuatan yang salah yang dilakukan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Saya bukan seperti segelintir jurulatih atau pegawai yang ‘membuta’ dan membisu yang mana masing-masing ingin menjaga periuk nasi mereka sendiri, dan biarkan anak-anak orang lain ‘mati’ kerana bukan anak sendiri,” kata Teong Kim menurut laporan Max Goal Sports.

Teong Kim turut memberikan fakta mengenai barisan pemain skuad B-19 tahun yang beraksi dalam saingan AFC B-19 Tahun pada 2019 lalu.

Lim Teong Kim
Luqman Hakim dan Mukhairi Ajmal (7) antara graduan AMD yang berjaya mencipta nama.

“Dia mempunyai mentaliti bola sepak senior seperti ramai jurulatih lain. Sebab itu dia kata saya gagal.

“Bola sepak senior is all about winning tetapi bukan bola sepak remaja. Saya nak tanya dia,mana datang pemain-pemain beraksi pada Kejuaraan AFF B-19 yang bergelar juara?

“Lapan (8) pemain daripada AMD, manakala enam pemain sentiasa beraksi senarai sebelas utama semasa kejohanan AFF B-19 dan ketika itu mereka berumur 17 tahun.

“Dia fikir, pemain-pemain itu datang daripada mana? ‘Bomoh kampung’ hantar pemain-pemain kepada FAM? Atau pun, pemain-pemain ini mungkin tumbuh di pokok kelapa rumahnya? Tiba-tiba pemain-pemain ini menjadi handal,” tambahnya.

Teong Kim turut mempersoalkan kredibiliti Rosli Hussein sehingga beliau boleh memberikan komen mengenai bola sepak di peringkat pembangunan.

Lim Teong Kim
Sumber Gambar: MFL

“Pernahkah dia melatih pasukan pembangunan remaja? Berapa tahun pula dia melatih skuad remaja? Berapa pula kemenangan di dalam sebarang kejohanan atau liga kejuaraan atau pertandingan lain?

“Kalau dia ada jawapan semua yang saya tanya itu, maknanya apa yang Rosli cakap boleh ‘dipakai’. Sekiranya tidak ada jawapan, dia sebenarnya mengarut. Atau mungkin dia hanya pancing untuk dapatkan ‘job’ di FAM sahaja,” ujarnya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Skuad Projek FAM-MSN di sini:

Rosli Hussein: Skuad Projek FAM/MSN Mampu Harungi Liga Dengan Positif

Azraai Khor Abdullah: Liga M3 Atau Piala Presiden Lebih Baik Buat Skuad Projek FAM-MSN

Lim Teong Kim: Mana Boleh Samakan Skuad Projek FAM-MSN Dengan Harimau Muda