Bekas pengarah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Lim Teong Kim mahu penyerang muda negara, Luqman Hakim untuk terus beraksi dalam saingan Liga Belgium.

Dalam satu temu ramah bersama Harimau Malaya, saingan Liga Belgium adalah jauh lebih baik berbanding saingan Liga Malaysia dan Luqman tidak perlu kembali beraksi di negara ini.

Luqman Hakim
Sumber Gambar: FAM

“Luqman baru setahun setengah di Belgium dan bukannya berusia 23 tahun tetapi baru 20 tahun. Saya nak tanya kepada pemain kebangsaan atau pun bekas pemain, adakah kamu pada usia 20 atau 23 tahun menjadi tulang belakang pasukan?

“Luqman tak perlu berhijrah sebaliknya beliau boleh bermain untuk pasukan B-23 kerana Liga B-23 di Belgium setaraf dengan Liga Super dan jauh lebih baik dari saingan Liga Perdana, Piala Belia dan Piala Presiden.

“Bagi saya biar Luqman berada di Belgium, tak main pun tidak mengapa kerana kualiti liga di sana lebih tinggi dari Liga Malaysia. Apa guna pulang ke Liga Super jika kualiti liga rendah sangat, dan bagaimana dia nak maju,” kata Lim Teong Kim.

Timbul persoalan mengenai masa depan Luqman di Belgium setelah beliau jarang beraksi bersama pasukan utama dan hanya beraksi bersama skuad pembangunan KV Kortrijk.

Ada yang mencadangkan agar Luqman kembali ke Malaysia dan beraksi dalam saingan liga domestik bagi memastikan beliau mendapat minit permainan yang lebih banyak.

Luqman bakal kembali ke pangkuan KV Kortrijk setelah menamatkan tugasan bersama skuad kebangsaan Malaysia dalam jelajah perlawanan persahabatan di Singapura baru-baru ini.

Pemain berusia 20 tahun itu diturunkan pada aksi persahabatan terakhir menentang Albirex Nigata Singapore yang menyaksikan pasukan negara menang dengan keputusan 3-0.

Baca artikel lain mengenai perkembangan pasukan kebangsaan di sini:

Malaysia Hadapi Dua Aksi Persahabatan Antarabangsa Mei Ini

TMJ: Nak Bola Sepak Maju Tapi Masing-Masing Masih “Low Class”

Tolak Panggilan Skuad Harimau Malaya, Rizal Ghazali Diberi Amaran Keras Oleh FAM