Ketua jurulatih baharu pasukan Perak, Lim Teong Kim memberikan bayangan mengenai barisan pemain yang bakal digunakan oleh beliau untuk menghadapi saingan Liga Malaysia musim hadapan.

Menurut Teong Kim, beliau akan menggunakan khidmat pemain muda dalam pasukannya selain tidak akan mengikuti ketetapan berkenaan pemain import bagi memastikan pemain muda mendapat peluang untuk beraksi.

“Pemain import bukan keutamaan saya untuk pasukan ini. Kami ingin lihat ramai pemain tempatan bermain.

“Saya faham perasaan pemain tempatan apabila duduk di bangku simpanan. Datang tempat kami, saya akan beri mereka (pemain tempatan) bermain,” katanya.

Lim Teong Kim yang tidak mempunyai pengalaman mengendalikan pasukan dalam saingan Liga Malaysia mendapat kepercayaan pengurusan Perak untuk mengendalikan pasukan itu musim hadapan.

Sebelum ini, Teong Kim mempunyai pengalaman melatih selama 12 tahun dengan juara Bundesliga 10 kali, pasukan Bayern Munich Bawah 19 tahun dan melatih pemain-pemain seperti Thomas Müller, David Alaba, Toni Kroos & Emre Can.

Beliau juga pernah memegang jawatan Pengarah Projek Program Pembangunan Bola Sepak Negara pada 2013 dan kemudian pada 2016, dilantik sebagai Pengarah Akademi Mokhtar Dahari.

Sebelum ini, Perak dikhabarkan mahu mengambil khidmat bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe namun pada akhirnya mereka lebih memilih Teong Kim sebagai ketua jurulatih baharu.

Perak ketika ini sedang bergelut dimana mereka menghuni tangga ke-9 dengan kutipan 8 mata, sama dengan pasukan yang menguni tangga ke-10 iaitu Skuad Projek FAM-MSN.

Skuad The Boss Gaurus perlu segera memperbaiki prestasi sekiranya tidak mahu terlepas tiket untuk beraksi dalam saingan Liga Super musim hadapan.

Liga Super musim 2023 akan memiliki 18 buah pasukan bertanding berbanding 12 pasukan dan enam pasukan dari Liga Premier akan dinaikkan bagi mencukupka kuota.

Tahun ini (2022), dua pasukan paling bawah Liga Premier akan bersaing dengan 2 pasukan Liga M3 untuk slot ke-17 dan ke-18 Liga Super tahun 2023 namun wakil M3 wajib memenuhi kriteria pelesenan kelab MFL sebelum diterima masuk ke Liga Super di mana bagi musim 2023 pula, Liga Super akan bergerak ke liga 16 pasukan.