Bekas pengarah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Lim Teong Kim menegaskan saingan liga di peringkat akar umbi merupakan satu perkara yang penting dalam usaha membangunkan bola sepak tanah air.

Teong Kim berkata demikian ketika menjawap soalan yang diajukan oleh peminat di laman media sosial Instagram miliknya mengenai kepentingan saingan liga di peringkat akar umbi.

“Soalan yang baik. Bukan sahaja liga B-19, tetapi juga B-21 dan B-17 dimana liga nasional perlu ada selama 8 hingga 10 bulan. Setiap Persatuan Bola Sepak (FA) negeri mesti mengadakan liga untuk kanak-kanak dan remaja bawah-17 hingga bawah-21 di setiap negeri di Malaysia.

“Barulah kita boleh kata pembangunan bola sepak remaja di Malaysia ini lengkap. Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kata niat mereka adalah membanggunkan bolasepak Malaysia kan. Boleh buatkah FAM?,” tegas Lim Teong Kim.

Teong Kim terus memberikan pandangan mengenai situasi semasa bola sepak negara setelah Malaysia mengalami kegagalan dalam saingan Piala AFF Suzuki 2020 yang berakhir awal tahun ini.

Sebelum ini, beliau menyalahkan FAM dan pengelola Liga Malaysia, Malaysian Football League (MFL) di atas kegagalan pasukan negara memberi cabaran dalam kumpulan B sekaligus tidak layak ke peringkat separuh akhir.

Menurut Teong Kim, MFL tidak cakna mengenai jadual liga sekaligus perkara ini memberi kesan terhadap pasukan negara yang tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk membuat persiapan sebelum berangkat ke Singapura.

“Adakah MFL tak tahu Piala AFF ini berlangsung pada Disember? Mengapa mesti menyusahkan persiapan negara? Dan paling penting adakah MFL dan FAM tidak berbincang dahulu? Dan di sini jurulatih mesti salah kerana tidak bertegas untuk minta tempoh latihan sendiri. Bukan seperti ini. Sekarang semua maki jurulatih,” katanya.

Selain itu, bekas ketua jurulatih skuad B-19 tahun Bayern Munich itu juga pernah bertikam lidah dengan Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B.Satiananthan dimana beliau pernah melabel Satia sebagai jurulatih yang tidak faham mengenai sistem pembangunan dalam kancah bola sepak Malaysia.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia musim 2022 di sini:

Dua Pemain Filipina Sah Sarung Jersi JDT

Kim Byung-soo Calon Pilihan Untuk Kendalikan Skuad Harimau Malaya

TDC Holdings Penaja Platinum Terengganu FC Dengan Nilai Tajaan Mencecah RM4.5 Juta