Susulan kegagalan skuad B-16 kebangsaan merebut slot ke ke Piala Dunia B-17 2019 di Peru, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengambil tindakan menamatkan khidmat ketua jurulatihnya, Lim Teong Kim.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, berkata keputusan itu berkuatkuasa serta-merta atas arahan Presiden FAM, YH Dato’ Haji Hamidin Haji Mohd Amin.

“Keputusan dibuat berdasarkan prestasi skuad negara yang tidak melepasi saingan peringkat kumpulan.

“Dato’ Hamidin sudahpun mengarahkan Timbalan Presiden FAM, Dato’ Sri Subahan Kamal memanggil Jawatankuasa Teknikal & Pembangunan Bola Sepak Belia FAM bermesyuarat bersama Pengarah Teknikal FAM, Peter de Roo secepat mungkin untuk membentuk panel pemilihan bagi mencari pengendali baharu skuad B-16 kebangsaan dan cadangan mereka itu akan dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM untuk diputuskan,” katanya.

Bagaimanapun Stuart menegaskan FAM tidak mengikat sebarang kontrak dengan Teong Kim, sebaliknya jurulatih itu mempunyai perjanjian dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Majlis Sukan Negara (MSN).

“Kuasa FAM terhad kepada pelantikan ketua jurulatih dan panel penolongnya, tetapi Teong Kim masih mempunyai baki kontrak bersama majikannya. Terpulang kepada KBS untuk menentukan masa depan Teong Kim,” kata Stuart.

Dalam pada itu, Stuart mengucapkan terima kasih kepada penyokong yang tampil memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada skuad negara.

“FAM menghargai sokongan penyokong dan kami berharap kelompok pemain ini akan diasuh dan matang untuk dijadikan teras skuad senior dalam masa lima dan enam tahun akan datang.”

Skuad Malaysia B-16 dibarisi kebanyakannya kelompok pertama yang dibentuk menerusi Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) sejak empat tahun lalu.

Skuad negara melakar kemenangan di saingan pembuka tirai dengan menewaskan Tajikistan 6-2, tetapi kemudian tewas 4-2 dengan Thailand dan ditundukkan Jepun 2-0, sebentar tadi.

Kekalahan itu meleburkan harapan skuad negara untuk mengulangi pencapaian anak didik S. Balachandran yang hanya selangkah ke Piala Dunia B-17 2015 di Chile apabila tewas tipis 2-1 kepada Australia pada suku akhir di Thailand pada 2014.