Bekas pengarah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Lim Teong Kim dikaitkan dengan pasukan Perak bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim hadapan.

Perkara ini dikongsikan oleh wartawan Astro Arena, Fina Nasrom melalui laman media sosial Twitter miliknya dimana beliau memuat naik Tweet yang menunjukkan seolah-olah Teong Kim bakal menyertai pasukan Liga Premier itu.

Sebelum ini, Teong Kim dikaitkan dengan TRW Kelantan dimana pemilik pasukan, Norizam Tukiman atau Zamsaham tidak menolak sekiranya kelabnya mendapatkan bekas ketua jurulatih skuad remaja Bayern Munich itu bagi memperkuatkan pasukan musim hadapan.

“Ya (berminat dengan khidmat Teong Kim) jika semua terma dan syarat dipersetujui bersama. Ini semua membabitkan hal perniagaan jadi sudah tentu ada harganya.

“Saya pun sebenarnya sudah berbual dengan Teong Kim, seorang figura yang luar biasa, begitu juga dengan Datuk K.Rajagobal tetapi saya sebenarnya lebih suka untuk menggilap bintang daripada menerima bintang.

“Jadi berkemungkinan kalau mereka (Teong Kim atau Rajagobal) jadi pengarah teknikal, pengarah sukan ataupun memainkan peranan utama dalam pengurusan serta penasihat, mungkin saya boleh pertimbangkan,” kata Zamsaham.

Tan Cheng Hoe Bakal Kendalikan Perak Musim Hadapan

Bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe sebelum ini dilaporkan semakin hampir untuk menjadi pengendali Perak dimana ada gambar yang tular di laman media sosial yang menunjukkan Cheng Hoe berjumpa dengan pengurusan pasukan pada bulan lalu.

Lim Teong Kim dan Cheng Hoe tidak terikat dengan mana-mana pasukan ketika ini dan sekiranya kedua-dua jurulatih menyertai Perak, maka pasukan itu bakal mempunyai staf kejurulatihan dan juga barisan teknikal yang cukup berpengalaman bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim hadapan.

Malaysia Football League (MFL) sebelum ini telah membentangkan penstrukturan semula Liga Malaysia untuk musim 2023. Lebih menarik, saingan Liga Super 2023 akan memiliki 18 buah pasukan bertanding berbanding 12 pasukan.

Tiada lagi Liga Premier mulai musim depan dan 6 pasukan utama daripada Liga Premier akan membentuk 18 pasukan yang akan beraksi dalam saingan Liga Super 2023, manakala bakinya iaitu pasukan ‘feeder club’ akan beraksi dalam Liga Simpanan yang bakal ditubuhkan.