Liga Perancis dijangka akan mengumumkan secara rasmi bahawa Ligue 1 dan Ligue 2 mereka akan dibatalkan untuk musim 2019/20.

Ini selepas kerajaan Perancis melarang sebarang aktiviti dan acara besar termasuk bola sepak – walaupun di dalam stadium tanpa penyokong sekalipun.

Keputusan itu diambil kerana pandemik Koronavirus yang melanda negara tersebut.

Perancis antara negara di Eropah yang teruk dilanda Koronavirus selain daripada Itali.

Oleh kerana keadaan yang tidak menentu itu, Kerajaan Perancis sudah mengeluarkan larangan bahawa tiada acara ataupun majlis dibenarkan sehingga September.

Perdana Menteri Perancis, Edouard Phillipe membuat pengumuman bahawa Ligue 1 tidak dapat diteruskan.

“Pertandingan sukan apa sekalipun tidak boleh diadakan sehingga bulan September. Musim bola sepak profesional 2019/20 tidak boleh dilanjutkan.”

Ligue 1 mahupun FFF masih belum membuat kenyataan rasmi buat masa ini. Dan mereka dijangka akan mengumumkan pembatalan musim itu dalam masa terdekat selepas kenyataan oleh Perdana Menteri.

Ligue 1 sebelum ini menyatakan komitmen dan perancangan mereka untuk kembali menyambung aksi liga. Di mana mereka merasakan 17 Jun adalah tarikh terbaik untuk menyambung liga dan akan berakhir pada 2 Ogos.

Walaubagaimanapun, kenyataan daripada pihak pemerintah bermakna Ligue 1 dan FFF kena akur.

Presiden FFF sudah menyatakan bahawa Liga utama (lelaki dan wanita) sudah boleh dikira berakhir. Dan masih berharap pertandingan piala akan dapat dianjurkan selepas Ogos.

FFF akan mengadakan satu rundingan dengan kesemua wakil kelab pada awal 30 April ini.

Mereka mahu membincangkan banyak perkara termasuk impak ekonomi.

RMC juga melaporkan FFF dijangka mahu membincangkan potensi memberikan kejuaraan terus kepada Paris St Germain.

Selain mahu membincangkan pasukan mana yang bakal ke Eropah, pasukan yang dinaik pangkat dari Ligue 2 ke Ligue 1, dan pasukan mana yang akan tersingkir.

PSG kini 12 mata dari Maeseille di puncak liga.

Jika tiada kesepakatan dicapai dalam isu kejuaraan, maka Ligue 1 mungkin akan mengikut langkah Eredivisie yang menamatkan liga tanpa sebarang juara musim ini dan tiada penyingkiran.

Baca juga berita lain dari Eropah:

Serie A Bakal Sambung Aksi

FIFA Cadang Peraturan Baharu, Setiap Pasukan Boleh Buat 5 Pertukaran Pemain

Szczesny Dedah Wenger Tak Suka Dengan Keraian Troll Selfie Di White Hart Lane