Konami menerusi siri tahunan mereka iaitu Pro Evolution Soccer (eFootball PES 2020) telah mengumumkan kemaskini dalam Liga Thailand dengan penambahan pasukan dan trofi baharu.

Ini adalah kali kedua Liga Thailand muncul dalam PES selepas Konami diberi lesen penuh untuk membangunkan liga terbaik di Asia Tenggara itu pada tahun lepas. Malah, kemunculan liga negara tersebut telah membawa kepada penubuhan Thai E-League Pro.

Thai E-League Pro atau kini dikenali sebagai Toyota E-League merupakan sebuah kejohanan esports PES yang melibatkan kelab-kelab bola sepak professional daripada Liga Thailand.

Liga ini berlangsung sejak bulan November tahun lepas dan merupakan satu-satunya Liga eSports professional secara rasmi di Asia Tenggara dengan kerjasama daripada KONAMI dan Persatuan Bolasepak Thailand (FAT). Ini merupakan sesuatu yang tidak ada di Malaysia dan semakin ketinggalan.

57106733_317835102172168_5687621020232450048_n

Dalam saingan Toyota E-League, setiap kelab bola sepak professional di Thailand akan menghantar 7 pemain yang berpengalaman untuk bertanding dalam Liga eSports mereka. Malah, setiap pasukan ini juga dibenarkan menyenaraikan pemain import yang datang daripada pelbagai negara termasuk Malaysia.

Namun pada musim ini, hanya 10 buah kelab telah menghantar wakil mereka untuk bertanding dalam Liga eSport PES iaitu Buriram United, Ratchaburi, Port FC, Police Tero, Chiangmai, True Bangkok, Chonburi FC, Nakhon Ratchasima, Bangkok Glass dan Chainat Hornbill.

Musim lepas, dua anak muda dari Malaysia iaitu Muhammad Khairul Abdul Aziz (Keron) dan Mohamad Norhaikal Mohamad Noh (Haikal) yang bermain dalam Liga esports Thailand. Keron mewakili kelab daripada liga divisyen dua, Police Tero FC manakala Haikal pula mewakili kelab daripada liga utama Thailand, Port FC.

Tahun ini juga kita mungkin dapat menyaksikan kelibat kelab dari Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) yang akan dimasukkan dalam PES 2020 melalui slot AFC Champions League (ACL) memandangkan Konami difahamkan masih memegang lesen eksklusif kejohanan kelab bola sepak paling berprestij di benua Asia tersebut.

eFootball PES 2020 akan dilancarkan secara rasmi pada 10 September 2019 untuk platform PC, PS4 dan Xbox One. Buat masa ini, anda boleh melakukan ‘pre order’ menerusi laman facebook, PES Malaysia  sebelum tarikh pelancaran sebenar.