Follow Untuk Isu-isu Viral Kemaskini Terkini

Saingan Liga Thailand kembali bersambung hari ini setelah berehat hampir dua bulan untuk memberi laluan kepada persiapan skuad kebangsaan mereka dan cuti pra musim selepas tamat pusingan pertama.

Artikel Berkaitan:

Peminat bola sepak tempatan kali ini cukup teruja kerana ada beberapa pemain Malaysia beraksi dalam saingan divisyen utama negara tersebut iaitu Dion Cools (Buriram United), Junior Eldstal (PT Prachuap) dan terbaharu, Safawi Rasid (Ratchaburi FC).

Bagaimanapun, hasrat peminat bola sepak tempatan untuk menyaksikan pertembungan antara dua pemain Malaysia iaitu Safawi Rasid menentang Liridon Krasniqi dari kelab Khon Kaen United tidak jadi kenyataan.

Ini kerana nama Liridon Krasniqi kini telah tiada dalam senarai rasmi barisan 28 pemain Khon Kaen United untuk pusingan kedua liga seperti diumumkan oleh kelab tersebut semalam.

Bekas pemain Kedah itu sempat diturunkan dalam 8 perlawanan Liga Thailand dan belum menjaringkan sebarang gol setakat ini. Secara keseluruhan, beliau telah mengumpulkan 358 minit perlawanan bersama kelab berkenaan.

Pemain naturalisasi negara itu menyertai Khon Kaen United secara pinjaman daripada Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi mengisi kuota pemain import ASEAN pada bulan Ogos 2022.

Kemungkinan besar khidmat beliau tidak diperlukan lagi walaupun menurut info daripada transfermarkt, tempoh pinjamannya dari JDT akan berakhir pada bulan Mei 2023.

Ianya sekaligus menimbulkan persoalan dalam kalangan peminat dan tidak mustahil beliau kembali semula ke Liga Malaysia menyertai pasukan lain.

Sebelum ini, ada beberapa pemain Malaysia telah beraksi di sana seperti Dominic Tan bersama Police Tero (2019-2021; Mohamadou Sumareh bersama Police Tero (2020-2021); Shahrel Fikri dengan Nakhon Ratchasima (2018); Norshahrul Idlan Talaha bersama BG Pathum (2020).

Safawi berpeluang bertemu dengan Junior Eldstal apabila Ratchaburi dijadualkan bertemua PT Prachuap 22 April 2023 dan perlawanan tumpuan sudah tentu terarah kepada pertembungan Buriram United (Dion Cools) menentang Ratchaburi (Safawi) pada 7 Mei 2023.

Berdasarkan carta kedudukan terkini Thai League 1, Buriram United berada di tangga teratas dengan 39 mata selepas mengharungi 15 perlawanan manakala Ratchaburi berada di tangga ketiga dengan 29 mata.