Sri Pahang FC (SRP) sekali lagi kempunan untuk mengutip 3 mata penuh di halaman sendiri apabila mencatat keputusan seri 1-1 dalam perlawanan Liga Super menentang Kedah Darul Aman (KDA) di Stadium Darul Makmur.

Ini adalah keputusan seri keempat mereka selepas terikat 1-1 dengan tiga pasukan pencabar iaitu Negeri Sembilan, Selangor dan Sabah.

Pasukan kendalian Fandi Ahmad itu menurunkan barisan terkuat termasuk kemunculan penyerang import dari Brazil, Lucas Silva yang baru pulih daripada kecederaan.

Separuh masa pertama berlangsung rancak namun kedua-dua pasukan buntu mencari jaringan pertama sehingga berakhir 45 minit perlawanan. Walaupun mempunyai deretan peluang terhidang namun ketumpulan penyudah menjadi masalah utama mereka.

Sri Pahang bangkit lebih garang di separuh masa kedua dan lebih banyak memberikan tekanan kepada benteng pertahanan Kedah.

Usaha mereka mengandakan asakan membuahkan hasil apabila diberikan sepakan penalti selepas bola rembatan Kpah Sherman terkena tangan pemain Kedah, Arif Farhan dalam satu serangan balas.

Sepakan penalti itu disempurnakan oleh Stefano Brundo pada minit ke 62 sekaligus menceriakan ribuan penyokong tok gajah yang membanjiri Stadium Darul Makmur.

Skuad Tok Gajah juga sekali lagi diberikan sepakan penalti pada minit ke 85 selepas Kpah Sherman dijatuhkan di dalam kawasan kotak penalti namun Lucas Silva gagal menyempurnakannya apabila bola melepasi palang.

Kegagalan Lucas Silva menyudahkan sepakan penalti turut mengundang kemarahan peminat tok gajah kerana ia telah merugikan pasukan dalam misi untuk mengutip 3 mata penuh.

Percaturan Nafuzi Zain memasukkan Jonathan Balotelli menjadi apabila pemain dari Brazil itu menyumbat gol penyamaan pada masa kecederaan. Keputusan 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Keputusan ini juga menyaksikan Sri Pahang masih kekal di kedudukan kelima Liga Super dengan rekod tanpa kalah selepas mengharungi 6 perlawanan manakala Kedah naik ke kedudukan kedua dengan jumlah keseluruhan 13 mata.