Selangor terus dirundung malang dalam kempen Liga Super Malaysia 2022 selepas tunduk 0-2 ditangan Terengganu pada aksi ke-14 yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya sebentar tadi.

Ia merupakan kekalahan ketiga berturut-turut dirasai oleh Brendan Gan dan rakan sepasukannya selepas mereka sebelum ini tunduk kepada Negeri Sembilan dan Sri Pahang.

Manakala, ini merupakan kekalahan kedua buat Selangor ditangan Terengganu dalam tempoh sebulan selepas mereka tunduk menerusi penentuan sepakan penalti pada aksi separuh akhir Piala FA.

Selangor yang kini dibimbing oleh Nidzam Jamil bagaimanapun mendapat peluang terbaik seawal minit keempat susulan kesilapan hantaran Pape Abdoulaye Diakite, namun percubaan ‘placing’ Mukhairi Ajmal Mahadi sekadar singgah di tiang gol.

Berselang seminit kemudian, Terengganu pula cuba mengancam kubu tuan rumah menerusi Faisal Abdul Halim tetapi penjaga gol, Sam Somerville lebih tangkas untuk menyelamatkan keadaan.

Kredit Foto: Selangor FC

Terengganu yang mempunyai rekod cemerlang ketika berhadapan dengan Selangor berjaya mencipta jaringan pendahuluan pada minit ke-13 menerusi Habib Haroon Saeed.

Habib yang mendapat hantaran daripada Manuel Ott tidak melepaskan peluang untuk melepaskan rembatan rendah daripada luar kawasan penalti sekali gus melepasi jangkauan Somerville bagi meletakkan pasukan pelawat dihadapan.

Kedudukan terus berubah pada minit ke-39 dimana Ott pula meletakkan nama selaku penjaring apabila gerakan lincah Faisal Halim memberikan ruang buatnya untuk melakukan percubaan bagi melebarkan kedudukan.

Memasuki babak kedua, para pemain Selangor dan Terengganu bekerja keras untuk menambah jaringan tetapi usaha mereka tidak membuahkan hasil untuk kedudukan 2-0 itu kekal hingga tamat permainan.

Dengan kekalahan tersebut, Selangor kini ditangga kesembilan dengan 16 mata manakala Terengganu di kedudukan keempat selepas mengumpul 23 mata.