Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak berdepan masalah untuk terus meraih kemenangan dalam saingan Liga Super Malaysia 2023 apabila menundukkan Perak 5-0 pada aksi yang berlangsung di Stadium Perak, Ipoh sebentar tadi.

Ia juga merupakan rekod kemenangan bersih dengan tujuh perlawanan berturut-turut dilakarkan skuad kendalian Esteban Solari itu dalam kempen liga bagi meletakkan Harimau Selatan unggul di kedudukan teratas.

JDT tidak perlu menunggu lama untuk membuka tirai jaringan selepas pemain pertahanan, Hasnul Zaim Zafri tertolak bola ke gawangnya sendiri dalam usaha beliau untuk memintas hantaran lintang dilakukan Arif Aiman Mohd Hanapi seawal minit keempat perlawanan.

Turun dengan barisan terkuat meskipun melakukan beberapa pertukaran, JDT terus tampil dengan bahaya
pada minit ke-19 tetapi tandukan Shane Lowry susulan sepakan penjuru sedikit melewati palang gol.

Juara sembilan kali itu menambah jaringan kedua ketika permainan memasuki minit ke-25 apabila Leandro Velasquez menyudahkan sepakan penalti meskipun penjaga gol, Bryan See Tian Keat sudah dapat menepis sepakan tersebut.

Kedudukan terus berubah selepas Diogo Luis Santo mudah menolak masuk bola susulan hantaran lintang Fernando Forestieri pada minit ke-45 untuk kedudukan 3-0.

Awal babak kedua menyaksikan Perak cuba memperbaiki corak permainan dengan tampil lebih baik untuk memberikan tekanan kepada barisan pertahanan JDT.

Namun seperti kebiasaan, pemain JDT tidak terlalu berdepan masalah untuk menyerap tekanan tersebut dan kembali menguasai permainan.

Ia jelas dibuktikan dengan gol keempat dihasilkan oleh Bergson da Silva berpunca daripada rembatan dalam kawasan penalti yang tidak mampu diselamatkan Bryan See pada minit ke-66 selepas beliau menerima lorongan baik daripada Arif Aiman.

Leandro menutup pesta jaringan di Ipoh itu dengan sepakan percuma yang terus menerjah gawang untuk menjadikan kedudukan 5-0.

Kedudukan tersebut kekal hingga tamat permainan untuk JDT mengutip tiga mata penuh untuk mengumpul 21 mata.