Penang akhirnya berjaya meraih kemenangan sulung dalam saingan Liga Super Malaysia 2023 selepas menundukkan Perak 3-1 pada aksi kelima yang berlangsung di Stadium Bandaraya, malam tadi.

Kemenangan penting yang dilakarkan itu meletakkan Penang kini ditangga kelapan dengan lima mata apabila sebelum ini mereka mencatatkan dua keputusan seri dan tiga kekalahan.

Hassan Ali ‘Soony’ Saad hanya memerlukan enam minit untuk menggembirakan para penyokong tuan rumah apabila larian derasnya menuju ke kawasan penalti Perak susulan hantaran cantik Nik Akif Syahiran Nik Mat disempurnakan dengan baik untuk meletakkan Penang di hadapan.

Tidak cukup dengan itu, jentera serangan Penang jelas cukup ampuh sehingga memberikan kesukaran buat barisan pemain pertahanan Perak yang diketuai Ahmad Haziq Ahmad Puad dan Shivan Pillay Asokan.

Ia jelas dibuktikan selepas Rafael Vitor dan Rahmat Makasuf mendapat peluang terbaik untuk menambah jaringan tetapi kuisan kurang cermat ketika mereka tidak dikawal pertahanan Perak sekadar meliar.

Rembatan Vitor daripada luar kawasan penalti pada minit ke-23 pula ditepis keluar Bryan See Tian Keat yang jelas begitu sibuk dalam mengawal gawangnya daripada dibolosi.

Bryan sekali lagi cemerlang berselang tiga minit kemudian dan kali ini beliau menggagalkan rembatan jarak dekat diledakkan Adriano Aparecido Narcizo.

Jaringan kedua Penang terhasil pada minit ke-37 apabila Nik Akif yang merampas bola di kawasan lawan terus menuju ke pintu gol lalu berjaya menewaskan Bryan.

Mohammad Faris Shah Mohd Rosli terlepas peluang keemasan untuk mengukuhkan lagi kedudukan pada minit ke-43 selepas tolakannya ketika menerima umpanan cantik daripada Nik Akif sedikit tersasar di sebelah kiri ketika beliau hanya berhadapan dengan Bryan.

Kemasukan Luciano Guaycochea, Sunday Afolabi dan Hadi Fayyadh pada babak kedua sedikit mengubah corak permainan Perak yang dilihat lebih tersusun berbanding aksi gambar di 45 minit awal.

Keadaan itu membolehkan anak buah Datuk Lim Teong Kim mendapatkan jaringan pada minit ke-71 selepas Seo Seonung mudah menolak masuk bola setelah menerima hantaran Hadi.

Ketika Perak cuba untuk bangkit, Giovane Gomes da Silva mematikan api perjuangan pasukan lawan dengan jaringan ketiga menerusi tandukan pada minit ke-83 sekali gus mengesahkan kemenangan 3-1 buat Penang.