Baru-baru ini, pengelola Liga Malaysia, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) telah mengumumkan format baharu yang akan digunakan dalam saingan Liga Super musim hadapan.

Sebanyak 18 pasukan akan mengambil bahagian dalam saingan divisyen pertama musim hadapan dimana saingan Liga Premier akan dihentikan buat sementara waktu dan digantikan dengan Liga Simpanan yang bakal diisi oleh pasukan yang dibarisi oleh pemain di bawah umur 23 tahun.

Antara perubahan besar dalam saingan Liga Super musim hadapan ialah dari segi bilangan pemain import dimana pasukan dibenarkan mengambil 9 pemain import tetapi hanya 5 pemain import beraksi di atas padang manakala seorang lagi pemain berada di bangku simpanan mengikut peraturan AFC.

Walaupun MFL akan mengikut ketetapan AFC dalam pengunaan 6 pemain import namun MFL masih kekal dengan hanya menbenarkan 5 pemain import (iaitu 3+1 (Asia)+1 (ASEAN)) diatas padang pada satu satu masa dengan hanya tambahan seorang pemain di bangku simpanan bagi menjaga slot pemain tempatan di atas padang tidak terjejas.

Tinjauan Vocket FC di laman media sosial mendapati rata-rata peminat kurang setuju dengan peraturan sembilan pemain import ini dimana peminat menganggap peluang pemain tempatan akan lebih terjejas berbanding ketika ini.

Satu lagi isu yang menjadi kebimbangan peminat ialah kemampuan pasukan untuk membayar gaji pemain sembilan pemain import sedangkan kuota pemain sedia ada iaitu lima pemain import masih menjadi masalah untuk beberapa pasukan membayar gaji pemain.

Apa yang pasti, pasukan harus lebih bijak dan mengukur baju di badan sendiri meskipun peraturan membenarkan mereka menandatangani sembilan pemain import.

Sekiranya tidak mampu untuk menampung sembilan pemain, maka pasukan boleh mengambil kurang daripada jumlah tersebut ataupun mengikut jejak langkah Petaling Jaya City yang tidak menggunakan khidmat pemain import.

Sudah memasuki tahun kedua PJ City beraksi tanpa kelibat pemain import dan mereka berjaya mengekalkan status sebagai pasukan Liga Super serta ada beberapa pemain tempatan yang menyerlah sekaligus beraksi bersama pasukan kebangsaan.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia musim 2022 di sini:

5 Pemain Lebih Umur Termasuk 3 Pemain Import Dibenarkan Beraksi Dalam Liga Simpanan

Pasukan Liga Super Dibenarkan Ambil 9 Pemain Import Mulai Musim Depan

Peminat Terengganu Berang Dengan Prestasi Kpah Sherman