Johor Darul Ta’zim (JDT) terus membuktikan kejaguhan apabila menjadikan Kedah Darul Aman (KDA) sebagai mangsa ‘kerakusan’ terbaharu dengan mencatatkan kemenangan 6-0 pada aksi Liga Super Malaysia 2023 yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri sebentar tadi.

Ia merupakan kemenangan kelapan berturut-turut dilakarkan skuad kendalian Esteban Solari itu untuk terus mengemudi carta liga dengan 24 mata maksimum dengan kelebihan lima mata meninggalkan pencabar terdekat, Selangor.

Tanpa mengira beraksi di gelanggang sendiri atau sebaliknya, JDT sentiasa mempamerkan penguasaan bola untuk menghuru-harakan jentera pertahanan lawan berbekalkan pemain berkualiti tinggi dimiliki skuad tersebut.

Bagaimanapun hanya satu gol berjaya dihasilkan juara sembilan kali itu pada separuh masa pertama menerusi peledak berbisa, Fernando Forestieri pada minit ke-23.

Gol pembukaan itu terhasil selepas sepakan sudut diambil Juan Muniz Gallego terus mencari Feroz Baharudin yang menanduk kepada Forestieri dan kemudiannya mudah ditolak masuk penyerang kelahiran Argentina tersebut.

Ia merupakan jaringan ketujuh buat Forestieri dalam lapan perlawanan dilaluinya setakat ini untuk terus bergelar penjaring terbanyak.

Aksi babak kedua memperlihatkan jentera serangan JDT jelas bernafsu untuk menambah jaringan apabila mendapatkan gol kedua hanya pada minit ke-48.

Berpunca daripada hantaran cantik oleh Arif Aiman Mohd Hanapi memberikan ruang buat Feroz yang datang daripada belakang untuk menanduk masuk bola.

Dua minit kemudian giliran Oscar Aribas pula mengambil kesempatan di atas kesilapan Lee Tuck tidak mengeluarkan bola daripada kawasan bahaya bagi menjadikan kedudukan 3-0.

Bergson da Silva mengukuhkan lagi kedudukan pada minit ke-53 apabila beliau mudah menyempurnakan sepakan penalti selepas beliau dikasari pemain pertahanan, Akmal Md Dzahir.

JDT hampir menambah jaringan ketika permainan memasuki minit ke-69 tetapi sepakan penalti Fernando Forestieri dibatalkan kerana beliau cuba untuk melakukan ‘set piece’ seperti yang pernah dilakukan oleh Barcelona pada satu ketika dahulu.

Keputusan pengadil perlawanan, Razlan Joffri Ali itu kerana melihatkan Arif Aiman yang masuk ke dalam kawasan penalti sebelum Forestieri mengambil sepakan.

Kekecewaan tersebut bagaimanapun ditebus Arif Aiman pada minit ke-76 selepas beliau mudah menolak masuk bola susulan ‘cutback’ dilakukan Syahmi Safari.

Pemain gantian JDT, Leandro Velasquez tidak mahu ketinggalan untuk meletakkan nama selaku penjaring pada perlawanan ini apabila ledakannya daripada sudut sukar berjaya menewaskan Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi di gawang Kedah pada minit ke-85.

Kelebihan enam gol tanpa balas itu kekal hingga tamat permainan untuk meneruskan rekod cemerlang JDT yang sudah menjaringkan 36 gol dan hanya bolos sekali dalam kempen Liga Super setakat ini.