Persatuan Bola Sepak China (CFA) hari ini telah mengumumkan semua perlawanan domestik termasuk saingan Liga Super China pada musim 2020 ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian berikutan penularan wabak coronavirus di negara itu.

Menurut kenyataan rasmi daripada CFA, penangguhan itu dibuat bagi melindungi tahap kesihatan pemain dan peminat bola sepak di China. Selain itu, mereka juga mengambil kira perintah daripada kerajaan yang melarang semua penduduk keluar dari rumah buat sementara waktu.

Saingan Liga Super China sepatutnya berlangsung pada 22 Februari ini.

Penularan wabak berkenaan dilaporkan bermula di sebuah pasar di Wuhan iaitu sebuah wilayah di China yang dikesan menjual haiwan liar secara haram.

Jumlah kematian akibat penularan coronavirus di China kini meningkat kepada 170 orang apabila wilayah Hubei yang terkesan teruk melaporkan 38 kematian baharu.

Angka kematian dan kes baharu dijangka meningkat lagi apabila angka di seluruh negara itu dikeluarkan hari ini.

Selain peningkatan kes di China, lebih 12 negara melaporkan penularan virus berkenaan dengan kes baharu dilaporkan di Finland dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Malah, pihak Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) turut mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perlawanan peringkat kumpulan AFC Champions League melibatkan beberapa kelab China.

Menurut kenyataan dari AFC, selepas berbincang dengan CFA, mereka memutuskan untuk melakukan penjadualan semula untuk 3 perlawanan pertama peringkat kumpulan AFC Champions League 2020.

Sekiranya dalam 3 perlawanan pertama itu pasukan dari China (Guangzhou Evergrande, Shanghai SIPG, Shanghai Shenhua dan Beijing FC) adalah selaku tuan rumah, perlawanan itu akan ditukar kepada perlawanan ditempat lawan.

Baca artikel lain berkaitan dengan penularan wabak coronavirus di China sehingga menjejaskan beberapa aktiviti bola sepak. 

Kejohanan Meizhou Hakka Cup Dibatalkan, Chonburi FC Terpaksa Pulang Semula Ke Thailand

RASMI: AFC Ubah Jadual 3 Perlawanan Pertama AFC Champions League Akibat Isu Coronavirus Di China

TERKINI: Selangor Batal Sertai Kejohanan Jemputan Meizhou Hakka Cup Di China