Johor Darul Ta’zim (JDT) meneruskan rentak cemerlang apabila mudah menewaskan TRW Kelantan 5-1 dalam aksi Liga Super 2023 yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim petang tadi.

Ini adalah kemenangan kedua terbesar mereka selepas skuad kendalian Esteban Solari itu membelasah Negeri Sembilan 7-0 di Paroi minggu lepas.

Pesta gol Harimau Selatan bermula seawal minit pertama apabila Diogo Luis Santo menolak masuk bola muntah ketika Fernando Forestieri gagal sempurnakan sepakan penalti.

25 minit kemudian, giliran Endrick Dos Santos mencatat nama sebagai penjaring apabila merembat kencang gol kedua dalam kawasan kotak penalti selepas menerima umpanan Diogo Luis Santo.

Diogo sekali lagi menjadi watak penting dalam penghasilan gol JDT apabila umpanannya disudahkan oleh rembatan Fernando Forestieri untuk jaringan ketiga pada minit ke 35.

Tidak banyak percubaan berbahaya dilakukan oleh Kelantan dan mereka jelas sekali berada di tahap yang berbeza jika dibandingkan dengan kualiti pasukan JDT.

Keputusan 3-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama namun Kelantan yang dibimbing oleh Choi Moon-sik mula mempamerkan kebangkitan pada separuh masa kedua.

Bagaimanapun belum sempat mereka melancarkan serangan, Stadium Sultan Ibrahim sekali lagi bergema dengan sorakan ribuan penyokong tuan rumah apabila JDT memperolehi gol keempat hasil daripada rembatan cantik pemain import Sepanyol, Juan Muniz dari luar kotak penalti.

Ketika JDT melakukan beberapa pertukaran pemain termasuk mengeluarkan penyerang utama, Diogo dan Forestieri, Kelantan akhirnya mendapat peluang untuk melakukan serangan balas.

Usaha mereka membuahkan hasil apabila memperolehi sepakan penalti selepas Ismaheel Akinade dijatuhkan oleh penjaga gol JDT, Syihan Hazmi. Pemain import baharu, Leonardo Rolon menyudahkan sepakan penalti untuk gol pertama Kelantan pada minit ke 67.

Namun begitu, pengadil turut menganugerahkan sepakan penalti kepada JDT selepas Akhyar Rashid dijatuhkan pada minit ke 81. Sepakan penalti Harimau Selatan kali ini disempurnakan oleh Arif Aiman. Keputusan 5-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

JDT kini kekal di tangga teratas liga dengan rekod 4 kemenangan tanpa kalah dan mempunyai kelebihan dari segi perbezaan jaringan gol.