Sabah bangkit daripada ketinggalan di babak pertama untuk mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas Terengganu pada aksi Liga Super Malaysia 2022 yang berlangsung di Stadium Likas, Kota Kinabalu sebentar tadi.

Kemenangan kelapan tersebut terus meletakkan Sabah ditangga kedua dengan mengumpul 25 mata, hanya kekurangan satu mata dibelakang Johor Darul Ta’zim (JDT), bagaimanapun pendahulu liga itu masih kekurangan dua perlawanan.

Kekalahan menyaksikan skuad kendalian Nafuzi Zain itu gagal untuk meneruskan kecemerlangan selepas mereka menang pada dua perlawanan terdahulu bertemu Kedah (termasuk sekali di Piala FA).

Mendapat sokongan padu penyokong sendiri, Sabah hampir berada di hadapan seawal minit kelima perlawanan tetapi tandukan Taiki Kagayama yang tidak dikawal pertahanan lawan dalam kawasan penalti selepas menerima umpanan Jackson De Souza sekadar tersasar.

Berselang seminit kemudian, giliran Manuel Ott pula memberikan ancaman ke arah pintu gol Sabah yang dikawal Khairul Fahmi Che Mat, namun rembatan dari luar kawasan penalti diledakkannya sekadar melewati palang gol.

Aksi selepas itu semakin menarik untuk disaksikan dengan kedua-dua pasukan kelihatan berusaha keras untuk mendapatkan jaringan pembukaan.

Memasuki minit ke-29, Kagayama mendapat peluang terbaik selepas beliau berjaya melepasi kawalan Pape Abdoulaye Diakite dalam kawasan penalti. Bagaimanapun, kegopohannya menyaksikan rembatan yang dilakukan pemain import dari Jepun itu hanya meliar melewati palang gol.

Kredit Foto: Malaysian Football League

Pasukan pelawat yang masih segar dengan dua kemenangan lalu bertemu Kedah tampil dengan lebih kemas untuk mendapatkan dua peluang terbaik pada minit ke-31 dan 42 tetapi percubaan Kpah Sherman ditepis keluar Khairul Fahmi manakala rembatan luar kawasan penalti Faiz Nasir pula hanya sedikit tersasar di sebelah kiri pintu gol.

Ketika aksi babak pertama semakin hampir untuk ditamatkan, Ott yang mendapat umpanan cantik daripada Petrus Shitembi ketika keadaan kelam-kabut dalam kawasan penalti tidak mensia-siakan peluang bagi memberikan kelebihan buat Terengganu.

Aksi separuh masa kedua memperlihatkan kebangkitan dipamerkan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee walaupun Terengganu masih lagi bernafsu untuk melebarkan kedudukan.

Ia jelas dibuktikan apabila pemain gantian, Amri Yahyah hampir meledakkan jaringan pada minit ke-65, namun percubaan voli daripada pemain berusia 41 tahun itu selepas menerima hantaran jauh Rizal Ghazali sedikit sahaja tersasar.

Dua minit kemudian, Khairul Fahmi bertindak cemerlang dalam menangkap kemas percubaan padu dari luar kawasan penalti dilakukan oleh pemain tengah, Habib Haroon.

Stadium Likas bergegak gempita ketika permainan memasuki minit ke-72 apabila Park Taesu menanduk masuk bola susulan hantaran sepakan penjuru daripada Baddrol Bakhtiar bagi kembali menyamakan kedudukan.

Pemain dari Korea Selatan itu kemudiannya muncul wira buat Sabah apabila beliau sekali lagi melakukan tandukan yang melepasi jangkauan penjaga gol Terengganu, Mohd Suhaimi Husin pada minit ke-79 sekali gus menghadiahkan kemenangan bermakna buat Sabah.