Negeri Sembilan mempamerkan kebangkitan hebat di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya untuk menundukkan Selangor 3-2 dalam aksi Liga Super Malaysia 2022 yang berlangsung sebentar tadi.

Keputusan itu menghadirkan cerita berbeza apabila Negeri Sembilan mencatatkan kemenangan kedua berturut-turut dalam saingan liga manakala tuan rumah pula tunduk buat kali kedua.

Selangor yang tewas ditangan Sri Pahang FC minggu lalu tidak menunggu lama untuk berada di hadapan apabila Herlison Caion De Souza Ferreira menemui sentuhan jaringan seawal minit kelapan.

Berpunca daripada kecuaian Herold Goulon yang terlalu santai dalam mengawal bola di kawasan sendiri memberikan ruang buat Caion untuk merampas bola dan kemudiannya melakukan percubaan menewaskan penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi.

Skuad kendalian Micheal Fichtenbeiner melebarkan kedudukan pada minit ke-30 menerusi Yazan Mousa Mahmud Al-Arab hasil tandukan susulan sepakan percuma diambil Mukhairi Ajmal Mahadi.

Gustavo Almeida cemerlang dengan dua gol dihasilkannya. Kredit Foto: Selangor FC

Jaringan itu bagaimanapun menimbulkan kontroversi apabila pengadil perlawanan, Fitri Maskom pada mulanya telah meniupkan wisel tetapi kemudiannya mengubah keputusan untuk mengiktiraf jaringan tersebut.

Kebangkitan Negeri Sembilan bermula pada minit ke-66 selepas Gustavo Almeida Dos Santos menyempurnakan sepakan percuma untuk menewaskan penjaga gol tuan rumah, Sam Somerville.

Jaringan itu jelas meningkatkan moral anak buah K. Devan untuk menambah jaringan dan usaha mereka membuahkan hasil pada minit ke-80 yang menyaksikan Gustavo menanduk masuk bola hasil sepakan percuma Ahmad Khuizaimi Piee bagi kembali menyamakan kedudukan.

Ketika aksi sebenar hanya berbaki dua minit untuk ditamatkan, pemain gantian yang merupakan bekas pemain Selangor, Sean Eugene Selvaraj melakukan percubaan jarak jauh untuk menghadiahkan kemenangan berharga buat Negeri Sembilan.

Selepas mengharungi 14 perlawanan, Negeri Sembilan pada ketika ini berada di tangga ketiga dengan 26 mata hasil tujuh kemenangan, lima keputusan seri dan dua kekalahan manakala Selangor yang kekurangan satu perlawanan mengumpul 16 mata untum menghuni kedudukan keenam.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak seluruh dunia melalui pautan dibawah.

Liga Super 2022: Amri Yahyah Wira Kebangkitan Sabah Atasi Melaka

Sinar Baharu Buat Respect FC, Syarikat Konglomerat Antarabangsa Ambil Alih Pasukan

Presiden Fenerbahce: “Kami Takkan Minta Maaf Kepada Ukraine Kerana Pegawai Mereka Celupar”