Selangor terlepas peluang untuk kembali mencatatkan kemenangan selepas diikat 1-1 Sabah pada aksi Liga Super Malaysia 2022 yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya sebentar tadi.

Mahu segera melupakan kekalahan ketika bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) tempoh hari, Selangor tampil dengan garang apabila melancarkan serangan ke kubu Sabah sebaik sahaja wisel permulaan ditiup pengadil perlawanan, Mohd Nafeez Abd Wahab.

Keadaan itu nyata membuahkan hasil setelah peledak berbisa, Herlison Caion De Souza Ferreira untuk membuka tirai jaringan seawal minit ketiga susulan kegagalan Jackson De Souza untuk menghalang dengan baik lorongan cantik dilakukan Alexander Agyarkwa Ameyaw dari tengah padang.

Caion yang hanya berdepan dengan penjaga gol Sabah, Khairul Fahmi Che Mat tidak berdepan masalah untuk memberikan kelebihan jaringan buat pasukan tuan rumah.

Jaringan itu jelas menaikkan lagi moral barisan pemain Selangor untuk menambah jaringan tetapi Khairul Fahmi tidak mahu gawangnya terus dibolosi dengan memperagakan aksi lebih cemerlang.

Beliau berjaya menafikan percubaan lambung dilakukan Brendan Gan pada minit ke-12 serta menghalang tandukan Yazan Mousa Mahmoud Al-Arab berselang seminit kemudian.

Kredit Foto: Malaysian Football League

Penjaga gol kelahiran Kelantan itu turut bertindak cemerlang dalam menepis percubaan sepakan percuma cantik diledakan Mukhairi Ajmal Mahadi ketika aksi babak pertama semakin hampir untuk ditamatkan.

Sabah yang beraksi sedikit goyah cuba untuk bangkit pada separuh masa kedua dan jaringan penyamaan dinantikan anak buah Datuk Ong Kim Swee itu hadir pada minit ke-53.

Berpunca daripada gerakan lincah Saddil Ramdani yang berjaya melepasi kawalan Fazly Mazlan disudahkan dengan rembatan kaki kiri dalam kawasan penalti sekali gus berjaya menewaskan Sam Sommerville.

Usaha kedua-dua pasukan untuk menambah jaringan selepas itu tidak berjalan seperti diharapkan meskipun ada gerakan-gerakan menarik dilancarkan ke kubu masing-masing.

Kedudukan seri itu menyaksikan Selangor kekal di tangga keenam dengan mengumpul 12 mata hasil tiga kemenangan, tiga keputusan seri dan dua kekalahan.

Manakala, keputusan seri pertama yang diraih Sabah itu pula meletakkan mereka di kedudukan kedua selepas mengumpul 19 mata susulan enam kemenangan, satu keputusan seri dan dua kekalahan.