Kedah Darul Aman (KDA) FC akhirnya menamatkan kemarau kemenangan dalam saingan Liga Super Malaysia 2022 selepas berjaya menundukkan Sarawak United 3-1 pada aksi yang ke-11 yang berlangsung di Stadium Darul Aman, Alor Setar sebentar tadi.

Tanpa kemenangan dalam lima perlawanan terakhir liga, skuad kendalian Aidil Sharin Sahak itu tampil dengan aksi yan baik dalam usaha untuk menguasai permainan bagi mendapatkan jaringan.

Skuad Kenari hanya memerlukan sembilan minit untuk berada dihadapan selepas hantaran lintang Fayadh Zulkifli yang gagal disudahkan dengan baik oleh Ronald Ngah Wanja tidak disia-siakan oleh Mahmoud Al-Mardi.

Percubaan susulan daripada pemain skuad kebangsaan Jordan itu hanya mampu dipandang penjaga gol Sarawak United, Tauffiq Ar Rasyid Johar untuk memberikan kelebihan buat Kedah.

Pasukan pelawat yang hanya sesekali mendapat ruang untuk melakukan percubaan hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-13 tetapi tandukan Francis Kone selepas menerima hantaran susulan sepakan sudut daripada S. Chanturu sedikit melewati palang gol.

Sanrawat Dechmitr jelas menjadi watak penting dalam membantu kemenangan ini dimana beliau cukup tenang dalam mengemudi jentera tengah untuk melorongkan bola berkualiti terutamanya buat Ronald Ngah Wanja.

Kredit Foto: Kedah Darul Aman FC

Sanrawat melakukan lorongan baik buat Mahmoud pada minit ke-34 tetapi rembatannya dinafikan Tauffiq manakala percubaan pemain import dari Thailand itu ketika permainan memasuki minit ke-52 sedikit melewati palang.

Dalam keghairahan Kedah memburu jaringan kedua, Sarawak United mengambil kesempatan dengan melakukan serangan balas pantas berselang seminit kemudian menerusi Nor Azizi Ramlee.

Uche Agba yang meluru pantas ke kawasan penalti Kedah melakukan lorongan buat Francis Kone tetapi rakannya itu gagal menyempurnakan peluang terhidang. Uche bagaimanapun tidak menunggu lama untuk melakukan percubaan untuk kembali menjadikan kedudukan terikat.

Enggan sekadar mencatatkan keputusan seri, Kedah memperkemaskan aksi dengan meningkatkan lagi tekanan buat skuad kendalian S. Balachandran itu dan usaha mereka membuahkan hasil pada minit ke-75,

Berpunca daripada hantaran cantik daripada Sanrawat kepada Ronald Ngah, penyerang import itu melakukan ‘turning’ dan kemudiannya melepaskan rembatan kaki kiri yang tidak mampu dihalang Tauffiq.

Mahmoud memastikan api perjuangan pasukan lawan terpadam pada minit ke-80 dimana hantaran ke dalam kawasan penalti yang cuba dilakukannya terus menerjah ke gawang Sarawak United untuk memastikan kemarau kemenangan Kedah berakhir.

Kemenangan kelima yang dilakarkan itu meletakkan Kedah kini berada ditangga keempat dengan 17 mata manakala Sarawak United pula ditangga ke-10 selepas mengumpul 10 mata.