Sentuhan jurulatih interim, Dato’ Dollah Salleh terus memberikan aura positif buat Sri Pahang selepas berjaya mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas Kedah Darul Aman (KDA) pada aksi Liga Super Malaysia 2022 yang berlangsung di Stadium Darul Makmur, Kuantan sebentar tadi.

Tiga mata tersebut mengulangi kecemerlangan Sri Pahang yang sebelum ini turut mencatatkan kemenangan pada minggu lalu dengan jaringan sama ketika bertemu Selangor. Manakala ia merupakan kekalahan kedua berturut-turut buat Kedah pada dua aksi terakhir.

Pemain import kelahiran Colombia, Andres Steven Rodriguez Ossa jelas menjadi watak utama pada perlawanan ini dengan dua jaringan yang dihasilkannya yang sekali gus menambah derita skuad kendalian Aidil Sharin Sahak itu.

Aksi menarik ditampilkan kedua-dua pasukan dengan corak permainan saling menyerang ditampilkan sejak wisel permulaan ditiup pengadil perlawanan, Mohd Amirul Izwan Yaacob.

Steven Rodriguez menggembirakan kem tuan rumah pada minit ke-32 apabila beliau yang melihat Mohd Ifwat Akmal Chek Kassim sudah keluar daripada posisinya terus melakukan percubaan lambung untuk meletakkan Sri Pahang dihadapan.

Kredit Foto: Kedah Darul Aman FC

Jaringan tersebut nyata meningkatkan lagi suhu permainan dengan serangan balas cuba dilancarkan Sri Pahang meskipun beraksi dalam padang yang sedikit basah.

Sri Pahang terlepas peluang untuk menambah jaringan kedua berselang lima minit kemudian selepas hantaran lintang hasil gerakan lincah Abdul Malik Mat Ariff sudah berjaya menewaskan Ifwat tetapi Steven gagal menyambar bola.

Kedah juga sesekali menguji gawang Sri Pahang tetapi rembatan kaki kiri padu diledakkan Mahmoud Al-Mardi ditepis penjaga gol tinggi lampai, Mamadou Samasaa.

Steven turut mendapat peluang terbaik pada minit ke-45, namun percubaan jarak dekat dilakukannya berjaya dinafikan penjaga gol berusia 25 tahun itu.

Situasi hampir sama turut dapat disaksikan ketika permainan memasuki mini ke-66. Bagaimanapun, Samasaa cemerlang dalam menafikan percubaan dilakukan Fayadh Zulkifli bagi menyelamatkan gawang.

Kedudukan berubah seminit kemudian apabila Steven tidak menunggu lama untuk melepaskan rembatan susulan selepas percubaan awal Manuel Hidalgo ditepis Ifwat untuk memastikan skuad Tok Gajah mencatatkan kemenangan 2-0.