Jaringan pada saat akhir dihasilkan Fernando Forestieri telah menghadiahkan kemenangan 2-1 buat Johor Darul Ta’zim (JDT) ke atas Sabah pada aksi Liga Super Malaysia 2022 yang berlangsung di Stadium Likas, sebentar tadi.

Kemenangan kelapan dilakarkan skuad kendalian Benjamin Mora itu mengukuhkan lagi kedudukan mereka di tangga teratas dengan kelebihan empat mata (26 mata) meskipun masih kekurangan satu perlawanan berbanding Sabah yang berada di tempat kedua.

JDT yang pastinya mahu kembali meraih kemenangan selepas terikat bertemu Melaka United, awal bulan lalu tampil dengan baik sebaik sahaja wisel permulaan ditiupkan pengadil bertugas, Mohd Fusser Mad Sallih.

Tekanan yang dijelmakan menyaksikan dua peluang terbaik untuk skuad Harimau Selatan, namun gerakan berbahaya dimulakan dari sebelah kiri pintu gol Sabah menerusi Leandro Velasquez pada minit kesembilan dan ke-17 diselamatkan dengan baik penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.

Tidak mahu terus ditekan pasukan pelawat, Sabah yang mendapat sokongan padu puluhan ribu penyokong yang turun ke stadium memperkemaskan aksi dalam usaha untuk memberikan ancaman ke kubu lawan.

Kredit Foto: JOHOR Southern Tigers

Ia hampir membuahkan hasil pada minit ke-18 tetapi percubaan Gary Steven Robbat dalam kawasan penalti ditepis keluar Farizal Marlias bagi menyelamatkan gawangnya daripada dibolosi.

Kehampaan itu ditebus seminit kemudian apabila hantaran lintang Jose Alberto Djalo Embalo gagal dikeluarkan dengan baik Shahrul Mohd Saad bagi membolehkan Park Taesu yang tidak dikawal dalam kawasan penalti melakukan percubaan lalu menewaskan Farizal untuk menggamatkan Stadium Likas.

Kegembiraan kem Sabah itu bagaimanapun hanya mampu bertahan tujuh minit selepas Fernando Forestieri tidak mensia-siakan peluang hasil ‘cutback’ daripada Arif Aiman Mohd Hanapi untuk meledakkan jaringan penyamaan.

Bagaikan mendapat tonik berguna susulan jaringan itu, JDT kembali tampil dengan garang untuk mencipta peluang bagi sekali lagi merobek gawang Sabah. Namun, peluang yang dimiliki pada minit ke-35 gagal disudahkan Leandro ketika beliau tidak dikawal dalam kawasan penalti.

Memasuki babak kedua, JDT dilihat menguasai sebahagian besar permainan dan turut mencipta beberapa peluang terbaik seperti sepakan percuma Leandro serta tandukan Fernando Rodriguez dari jarak dekat yang digagalkan Khairul Fahmi.

Ketika perlawanan dilihat bakal berkesudahan dengan keputusan seri, Forestieri muncul wira buat juara lapan kali Liga Super itu apabila sepakan percuma yang diambil pemain import dari Argentina itu gagal diselamatkan Khairul Fahmi untuk mengesahkan kemenangan berharga buat JDT.