Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak berdepan masalah untuk mencatatkan kemenangan 5-0 ke atas Kuala Lumpur (KL) City pada aksi Liga Super Malaysia 2022 yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri sebentar tadi.

Kemenangan keempat berturut-turut yang diraih itu turut mengukuhkan lagi kedudukan juara bertahan tersebut di kedudukan teratas dengan 35 mata, berkelebihan empat mata dihadapan Sabah. Malah, JDT masih kekurangan satu perlawanan berbanding pasukan tangga kedua tersebut.

Ia juga menjadi permulaan cukup indah buat Hector Pablo Bidoglio yang diperkenalkan sebagai pengendali baharu JDT pada Khamis lalu bagi menggantikan Benjamin Mora.

Tuan rumah yang mendominasi permainan sejak daripada wisel permulaan ditiupkan tidak menunggu lama untuk berada dihadapan selepas Bergson da Silva memberikan kelebihan seawal minit ketujuh.

Bergson tidak berdepan masalah untuk menyempurnakan sepakan penalti selepas kekasaran yang dilakukan Giancarlo Gallifuoco terhadap seorang lagi penyerang import, Fernando Forestieri.

Kredit Foto: JOHOR Southern Tigers

Memasuki minit ke-25, Bergson menambah jaringan kedua yang juga merupakan gol ke-16 peribadinya dalam saingan liga musim ini hasil gerakan lincahnya melepasi kawalan dua pemain pertahanan lawan lalu disudahkan dengan baik untuk terus menewaskan Kevin Ray Mendoza.

Pengadil perlawanan, Mohd Fusser Md Sallih sekali lagi menghadiahkan sepakan penalti buat juara lapan kali Liga Super itu ekoran kekasaran Anwar Ibrahim terhadap Arif Aiman Mohd Hanapi.

Sepakan yang diambil Leandro Velasquez pada minit ke-55 tidak mampu dihalang Kevin Ray walaupun penjaga gol skuad kebangsaan Filipina itu sudah dapat membaca arah sepakan Leandro.

Tidak cukup dengan kelebihan tersebut, JDT menambah jaringan keempat ketika permainan memasuki minit ke-70 menerusi Forestieri susulan gerakan ‘satu-dua’ menarik dijelmakannya bersama Leandro.

Pemain gantian, Safawi Rasid menutup pesta jaringan pada minit ke-84 apabila percubaan dari jarak jauh dilepaskannya tidak mampu dihalang Kevin Ray untuk memastikan kemenangan 5-0 memihak JDT.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak seluruh dunia melalui pautan dibawah.

Sean Selvaraj: Rasanya Ini Jaringan Tercantik Pernah Saya Lakukan

AFC Umum Format Baharu Kelayakan Rebut 8 Slot Automatik Ke Piala Dunia 2026

India FA Mahu Sertai AFF