Mohd Amri Yahyah terus membuktikan beliau masih relevan dalam kancah bola sepak tempatan apabila muncul wira dalam Sabah menewaskan Melaka United 2-1 aksi aksi Liga Super Malaysia 2022 yang berlangsung di Stadium Likas, Kota Kinabalu sebentar tadi.

Skrip yang sama seperti aksi bertemu PJ City FC tempoh hari dapat disaksikan dimana Sabah bangkit daripada ketinggalan pada babak pertama dan kemudiannya melakar kebangkitan untuk mencatatkan kemenangan.

Kedua-dua pasukan yang mahu meneruskan rentak kemenangan mempamerkan aksi bertenaga sepanjang perlawanan meskipun terpaksa beraksi di atas permukaan padang becak akibat hujan sejak jam 4 petang.

Ia jelas dibuktikan apabila Melaka United hampir dihadapan seawal minit keempat, namun Ifedayo Olusegun Omosuyi terlebih dahulu dikesan berada dalam keadaan ofsaid ketika menerima umpanan menarik daripada rakan sepasukannya.

Sabah kemudiannya tampil dengan lebih baik untuk menjelmakan beberapa peluang keemasan tetapi rembatan jarak dari luar kawasan penalti dilakukan Gary Steven Robbat hanya sedikit tersasar manakala ledakan Stuart Wilkins pula ditepis keluar penjaga gol, Ahmad Asyraaf Omar.

Kredit Foto: Melaka United Football Club

Jaringan yang dinantikan hadir pada minit ke-24 apabila Ifedayo yang tidak dikawal pertahanan Sabah mudah untuk menolak masuk bola ketika situasi kelam-kabut di hadapan pintu gol bagi meletakkan Melaka United dihadapan.

Aksi selepas itu menyaksikan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan tetapi kelebihan jaringan yang dihasilkan Ifedayo itu kekal hingga tamat separuh masa pertama.

Tindakan Ong Kim Swee membawa masuk Amri Yahyah nyata membuahkan hasil apabila pemain berpengalaman itu berjaya meledakkan jaringan menerusi percubaan separa voli cantik dalam kawasan penalti setelah beliau menerima hantaran lintang Alto Linus pada minit ke-65.

Pemain berusia 41 tahun itu membuatkan Stadium Likas gamat pada masa kecederaan selepas rembatan padu susulan hantaran Farhan Roslan dalam kawasan penalti tidak mampu dihalang Asyraaf untuk memberikan kelebihan buat Sabah.

Ketika aksi semakin hampir untuk ditamatkan, pengadil perlawanan, Muhammad Nazmi Nasaruddin melayangkan kad merah buat Ahmad Haziq Mohd Fuad ekoran kekasarannya terhadap Amri Yahyah manakala kapten Sabah, Rawilson Batuil turut menerima nasib sama selepas beliau melakukan terjahan kasar kepada Syukri Baharun.

Kedudukan 2-1 itu kekal untuk menghadiahkan kemenangan ketiga berturut-turut dilakarkan oleh skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee untuk terus memberikan tekanan buat pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim (JDT).