Terengganu tidak berdepan masalah untuk meraih kemenangan berharga di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin apabila berjaya membelasah Perak 5-0 pada aksi ke-14 kempen Liga Super Malaysia 2021 yang berlangsung sebentar tadi.

Kepincangan corak permainan yang ditampilkan pasukan pelawat jelas memberikan ruang cukup luas buat skuad kendalian Nafuzi Zain itu untuk menguasai sebahagian besar permainan.

Kesempatan itu digunakan sepenuhnya oleh Terengganu yang berjaya mendapatkan tiga gol pada separuh masa pertama.

Jaringan pembukaan pasukan tuan rumah hadir pada minit ke-19 apabila Mohamad Faisal Abdul Halim yang tidak dikawal telah melakukan larian di belakang pertahanan Perak lalu dengan mudah menolak masuk bola hasil hantaran dilakukan Faiz Nasir.

Terengganu mengukuhkan kedudukan berselang empat minit kemudian selepas David da Silva menyempurnakan sepakan penalti yang dihadiahkan susulan kekasaran Rafiuddin Roddin terhadap Faisal Halim.

Tidak cukup dengan jaringan tersebut, Perak terus dihukum ketika perlawanan memasuki minit ke-42 setelah cubaan pemain import baharu, Charles Machell untuk menghalang hantaran Faiz Nasir tertampan ke dalam gawang sendiri.

Memasuki babak kedua, Perak yang dibimbing Choong Yee Fatt cuba untuk memperkemaskan aksi dengan kemasukan penyerang baharu, Ghislain Guessan tetapi ianya jelas tidak mampu mengubah keadaan.

Sebaliknya, Terengganu pula yang berupaya mendapatkan jaringan keempat pada minit ke-71 menerusi pemain gantian, Mohamad Hakimi Abdullah dimana beliau mudah menolak masuk bola hantaran lintang daripada Rahmat Makasuf.

Kredit juga harus diberikan kepada Makan Konate yang melorongkan bola dengan cukup baik buat Rahmat bagi membolehkan jaringan keempat terhasil.

Ketika perlawanan memasuki masa kecederaan, giliran Nik Akif Syahiran Nik Mat pula meledakkan jaringan kelima menerusi sepakan penalti selepas beliau dikasari Danish Haziq dalam kawasan penalti untuk perlawanan berkesudahan 5-0 memihak Terengganu.

Dengan pesta jaringan tersebut, Terengganu kini terikat 30 mata dengan pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim (JDT) yang hanya akan beraksi esok bertemu UiTM FC.