Perak mungkin dapat menghela nafas lega apabila terikat tanpa jaringan bertemu Kuala Lumpur (KL) City pada aksi ke-15 saingan Liga Super Malaysia 2021 yang berlangsung di Stadium Perak, Ipoh sebentar tadi.

Ketika ramai yang merasakan skuad bimbingan Bojan Hodak mampu untuk meraih kemenangan susulan pelbagai masalah dihadapi pasukan tuan rumah, tetapi barisan pemain Perak tidak memberikan laluan mudah pada perlawanan ini.

KL City bagaimanapun terlebih dahulu menguji gawang Perak selepas pemain tengah, Zhafri Yahya melakukan percubaan dari jarak jauh tetapi rembatan tersebut ditepis keluar Muhammad Azri Ab Ghani seawal minit keempat.

Anak buah Chong Yee Fatt kemudiannya pula cuba untuk memberikan ancaman apabila Mohamad Izzudin Mohd Roslan meledakkan percubaan voli dari luar kawasan penalti pada minit ke-23, namun penjaga gol KL City, Kevin Ray Mendoza tangkas menafikan percubaan tersebut.

Aksi babak kedua lebih menarik untuk disaksikan dengan tiga percubaan pada tempoh lima minit awal berjaya mengkucar-kacirkan kubu Perak.

Bagaimanapun, Azri Ghani yang diberikan tanggungjawab pada perlawanan ini kental di gawangnya untuk menghalang percubaan menarik daripada Zhafri, Hadin Azman dan ketua pasukan, Paulo Josue.

Tidak mahu terus ditekan, giliran Perak pula untuk memperkemaskan aksi sekali gus berjaya mendapat dua peluang terbaik menerusi pemain pertahanan, Charlie Machell susulan situasi sepakan penjuru.

Rembatan Machell pada minit ke-62 mudah ditangkap Kevin Mendoza manakala berselang dua minit kemudian Nik Shahrul Azim pula cemerlang mengeluarkan bola dari kawasan bahaya bagi menyelamatkan pintu gol KL City daripada dibolosi.

Aksi selepas itu masih tidak dapat mengubah kedudukan untuk kedua-dua pasukan berpuas hati dengan satu mata untuk Perak naik ke tangga ke-10 dengan 13 mata manakala KL City kekal di tangga keenam selepas mengumpul 19 mata.