Melaka United bangkit pada separuh masa kedua untuk mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas Perak pada aksi ke-21 kempen Liga Super Malaysia 2021 yang berlangsung di Stadium Hang Jebat, sebentar tadi.

Keadaan tersebut menyaksikan Melaka United kekal dalam saingan Liga Super musim hadapan manakala ia secara langsung telah menghumban Perak ke Liga Premier buat pertama kali sejak saingan liga utama negara itu diperkenalkan pada tahun 2004.

Skuad kendalian Zainal Abidin Hassan itu mendapat dua peluang terbaik pada 20 minit awal tetapi keadaan kelam-kabut dalam kawasan penalti pada minit ke-10 gagal disempurnakan Fakhrullah Rosli manakala berselang lapan minit kemudian, sepakan percuma daripada Sony Norde terkena palang gol.

Melaka United kemudiannya tersentak pada minit ke-30 apabila Sergio Aguero tenang menyempurnakan sepakan penalti. Sepakan tersebut dihadiahkan buat Perak selepas pemain tengah, Syahir Bashah dikasari oleh Khairul Anwar Shahrudin dalam kawasan penalti.

Jaringan tersebut nyata meningkatkan moral anak buah Shahril Nizam Khalil itu dengan dua percubaan menarik yang dicipta menerusi Muhammad Adib Abdul Ra’op.

Pemain sayap muda itu melakukan percubaan lambung yang menewaskan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat setelah menerima lorongan baik Aguero tetapi kuisannya sedikit melewati palang gol pada minit ke-33.

Memasuki minit ke-40, Adib sekali lagi hampa berikutan rembatan leret dilepaskannya sudah berjaya menewaskan Khairul Fahmi tetapi bola terkena tiang gol lalu diselamatkan penjaga gol berpengalaman itu.

Bagaikan mendapat tonik berguna di bilik persalinan, Melaka United tampil dengan lebih baik pada babak kedua dengan mendapatkan dua jaringan yang diharapkan.

Gol penyamaan menjelma pada minit ke-67 apabila Manuel Ott melakukan gerakan lincah dari tengah padang dan kemudiannya melepaskan satu percubaan dari luar kawasan penalti yang berjaya menewaskan penjaga gol, Nasrullah Aziz.

Sony Norde menghadirkan kegembiraan buat kem Melaka United pada minit ke-79 menerusi satu rembatan padu yang gagal ditepis keluar Nasrullah untuk menghadiahkan kemenangan kelima buat kelab tersebut.