Johor Darul Ta’zim (JDT) bangkit daripada ketinggalan satu gol pada babak pertama untuk mencipta kemenangan 3-1 ke atas UiTM FC pada aksi ke-14 saingan Liga Super Malaysia 2021 yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri sebentar tadi.

Kemenangan ke-10 itu bagaimanapun tidak hadir semudah yang disangka meskipun pasukan pelawat kini berada di kedudukan terakhir tanpa sebarang kemenangan setakat ini.

Hal ini kerana skuad kendalian Frank Berhardt itu tidak memberikan laluan mudah buat JDT pada separuh masa pertama dengan tekanan yang diberikan sehingga berjaya menjaringkan gol pendahuluan menerusi pemain import baharu, Joel Vinicius Silva.

Jaringan pada minit ke-43 itu menjelma susulan lorongan baik ke dalam kawasan penalti dilakukan Kwon Yonghyun kepada Vinicius yang kemudiannya melepaskan percubaan leret sekali gus berjaya menewaskan penjaga gol, Farizal Marlias.

Enggan mengalami kekalahan kedua di laman sendiri pada musim ini, JDT tampil dengan lebih kemas pada separuh masa kedua dengan menghadirkan beberapa percubaan ke kubu UiTM Yang dikawal Zamir Selamat.

Usaha anak buah Benjamin Mora itu membuahkan hasil pada minit ke-50 apabila hantaran lintang Arif Aiman Mohd Hanapi terus mencari Gonzalo Cabrera yang tidak dikawal dalam kawasan penalti lalu meledakkan rembatan padu untuk kembali mengikat kedudukan.

UiTM hampir sekali lagi di hadapan ketika perlawanan memasuki minit ke-66 tetapi Sean Gianneli gagal menyempurnakan peluang terhidang di hadapan pintu gol ketika beliau menerima umpanan cantik daripada rakan sepasukannya.

Kedudukan berubah berselang enam minit kemudian apabila pemain gantian, Safawi Rasid berjaya menyempurnakan peluang terhidang dengan rembatan dalam kawasan penalti yang gagal dihalang Zamir bagi memberikan kelebihan buat JDT.

Penjaring terbanyak JDT, Bergson Da Silva mematikan api perjuangan UiTM pada minit ke-88 selepas beliau mudah menolak masuk bola bagi mengesahkan kemenangan 3-1 yang juga merupakan jaringan ke-12 peribadi buatnya.

Dengan kemenangan tersebut, JDT terus menghuni tangga teratas dengan kelebihan tiga mata di hadapan pencabar terdekat, Terengganu.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia:

Liga Super 2021: Terengganu Berpesta, Belasah Perak Di Gong Badak

‘Derbi Utara’ Ditunda, KDA Mohon Maaf Kepada Penang

Dua Pemain Kedah Positif COVID-19, Perlawanan Liga Super Menentang Penang Ditunda