Johor Darul Ta’zim (JDT) meneruskan rentak cemerlang dalam saingan Liga Super Malaysia 2021 selepas berjaya menundukkan Perak 5-0 pada aksi ke-16 yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri sebentar tadi.

Kemenangan ke-12 itu dibantu kecemerlangan pemain import dari Brazil, Bergson Gustavo Silveira da Silva yang meledakkan hatrik sekali gus menjadikan beliau penjaring terbanyak pada ketika ini dengan 16 gol.

Manakala pemain lincah, Gonzalo Cabrera pula cemerlang dengan dua gol yang dihasilkan pada lewat aksi separuh masa kedua.

Seperti dijangkakan, skuad kendalian Benjamin Mora itu mendominasi permainan sejak dari wisel permulaan ditiup pengadil perlawanan, Tuan Mohd Yaasin Tuan Mohd Hanafiah.

Jaringan pembukaan juara tujuh musim berturut-turut itu menjelma pada minit ke-20 apabila Bergson yang menerima hantaran Cabrera melakukan gerakan bagi melepasi kawalan dua pertahanan Perak lalu beliau melepaskan rembatan leret untuk menewaskan penjaga gol, Muhammad Azri Ab Ghani.

Ketika aksi babak kedua baru berusia dua minit, Bergson melebarkan kedudukan menerusi rembatan jarak dekat untuk menjadikan kedudukan 2-0.

Penyerang berusia 30 itu melengkapkan hatrik pada minit ke-59 selepas beliau melakukan dadaan baik setelah menerima umpanan jauh rakan sepasukanya untuk mudah menambah luka buat Perak.

Masih belum cukup dengan tiga jaringan tersebut, skuad Harimau Selatan menambah jaringan keempat menerusi percubaan voli menarik dalam kawasan penalti pada minit ke-84.

Cabrera menutup pesta jaringan di laman sendiri dengan gol kelima selepas beliau tenang menyempurnakan sepakan penalti bagi aksi berkesudahan 5-0 memihak JDT.

Dengan kemenangan ini, JDT sedang memimpin saingan liga dengan kelebihan sembilan mata di hadapan Terengganu yang akan berhadapan Sabah di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak malam esok.

Baca artikel lain mengenai JDT dan Perak:

JDT Jalin Kerjasama Bersejarah Bersama Aston Martin

Sedar Cabaran Getir Menanti, Yee Fatt Tuntut Aksi Melawan Anak Buah Hadapi JDT

Penstrukturan Semula Pasukan, Perak Jimat RM500,000 Sebulan