Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Kemenangan selesa 3-0 yang dicatatkan Johor Darul Ta’zim (JDT) ke atas Sri Pahang pada aksi di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri sebentar tadi memastikan mahkota kejuaraan Liga Super Malaysia 2021 sah menjadi milik skuad kendalian Benjamin Mora itu.

Kejayaan manis yang diraikan di laman sendiri itu juga menyaksikan gelaran Liga Super buat kali kelapan berturut-turut dimenangi kelab gergasi tanah air tersebut.

Berhadapan dengan Sri Pahang yang agak tempang tanpa beberapa pemain utama, JDT jelas menunjukkan penguasaan permainan sebaik sahaja wisel permulaan ditiupkan pengadil perlawanan, Mohd Fairuzi Mat Desa.

Pemain import, Bergson Gustavo Da Silva terus menjadi watak penting buat JDT beliau berjaya meledakkan hatrik yang sekali gus menjadikannya sebagai pendahulu penjaring terbanyak dengan 23 gol, satu gol meninggalkan ayam tambatan Selangor, Ifedayo Olusegun.

Bergson tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan apabila beliau mengambil kesempatan susulan kesilapan hantaran pemain tengah Sri Pahang, Mohammad Zazrir Naim Abdul Rani yang gagal dibaca rakan sepasukannya.

Keadaan itu membolehkan Bergson melepasi kawalan tiga pemain pertahanan lalu melepaskan rembatan kaki kiri sekali gus menewaskan penjaga gol, Muhammad Daniel Wafiuddin Sa’dun pada minit kelapan.

Sri Pahang yang sesekali melakukan tekanan mendapat peluang untuk menguji gawang tuan rumah, namun sepakan percuma daripada Manuel Hidalgo pada minit ke-16 mudah ditangkap Mohd Farizal Marlias.

Pemain tengah berpengalaman, Safiq Rahim hampir menambah kedudukan pada minit ke-30 selepas gerakan menariknya disudahkan dengan rembatan dari luar kawasan penalti tetapi percubaannya sedikit tersasar di sebelah kiri pintu gol Sri Pahang.

Bergson menjadikan kedudukan 2-0 ketika perlawanan memasuki minit ke-41 selepas beliau dengan tenang melakukan tolakan lambung bagi membolosi Daniel Wafiuddin hasil hantaran berkelas dunia dilakukan Safiq Rahim.

Dua jaringan itu nyata masih belum cukup buat Bergson apabila beliau kemudiannya meledakkan hatrik berselang empat minit kemudian berpunca daripada lorongan cantik Gonzalo Cabrera dan beliau tidak berdepan masalah untuk menyempurnakan peluang terhidang.

Memasuki babak kedua, skuad kendalian Dollah Salleh tampil dengan aksi yang lebih bertenaga dengan menghadirkan beberapa percubaan bagi menguji Farizal Marlias.

Antara peluang keemasan yang dimiliki pasukan pelawat hadir pada minit ke-52 berpunca daripada kesilapan Adam Nor Azlin, bagaimanapun percubaan Hidalgo dari jarak dekat dinafikan dengan cemerlang penjaga gol utama skuad kebangsaan itu.

Kedudukan 3-0 itu kekal hingga tamat permainan untuk menghadiahkan kemenangan yang cukup bermakna buat JDT walaupun masih berbaki dua perlawanan lagi.

Sementara itu, Sri Pahang perlu bekerja keras untuk menjauhi zon penyingkiran apabila kekal di tangga ke-10 dengan 17 mata, hanya berkelebihan empat mata di hadapan Perak.

 

 

 

 

Anda Mungkin Suka

© 2021 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group