Malaysia Football League (MFL) mengumumkan penstrukturan baharu Liga Malaysia bermula tahun ini menyaksikan pertandingan Liga Simpanan dikenali sebagai Piala MFL dan diadakan buat kali pertama.

Menurut kenyataan rasmi, sebanyak 15 pasukan telah mengesahkan penyertaan. Saingan Piala MFL akan disertai skuad bawah 23 tahun daripada kelab Liga Super serta satu pasukan daripada Skuad Projek FAM-MSN.

Pasukan akan dibahagikan di dalam dua kumpulan secara undian iaitu kumpulan “A” dan “B”.

Kumpulan “A” akan mempunyai 8 pasukan manakala kumpulan “B” akan mempunyai 7 pasukan. Undian bagi menentukan kedudukan pasukan di dalam Kumpulan A dan B dibahagikan mengikut zon iaitu Zon Tengah, Zon Utara, Zon Selatan, Zon Timur, Zon Borneo dan negeri yang mempunyai dua pasukan.

Empat (4) kelab teratas setiap kumpulan A dan B akan layak ke pusingan ke-2 iaitu Liga Juara (Liga 1 pusingan). Dua (2) pasukan teratas Liga Juara akan layak ke Perlawanan Akhir Piala MFL.

Selain itu, MFL turut mengesahkan Challenge Cup (Piala Cabaran) dipertandingkan semula selepas tiga tahun sejak dianjurkan pada 2018 dan 2019.

Lapan (8) pasukan yang tidak layak ke perlawanan Suku Akhir Piala Malaysia akan bermain di perlawanan Suku Akhir pertandingan MFL Challenge Cup 2023.

Penentuan jadual perlawanan akan ditetapkan secara seeding atau seperti yang diputuskan oleh MFL. Perlawanan Suku Akhir, Separuh Akhir dan Akhir akan dimainkan secara timbal balik di venue pasukan-pasukan yang layak.