Ahli lembaga pengarah badan pengendali Liga Pro UAE (AGL) semalam telah membuat keputusan untuk tidak meneruskan saingan liga domestik musim ini menurut laporan daripada The National. 

Berikutan keputusan itu, mereka akan berbincang dengan Persatuan Bola Sepak Emiriyah Arab Bersatu (UAE FA) hari ini untuk menentukan sama ada pendahulu liga, Shabab Al Ahli dinobatkan sebagai juara atau tiada mana-mana pasukan bergelar juara.

Liga Pro UAE ditangguhkan sejak 15 Mac lepas susulan penularan wabak pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia. Selepas mengharungi 19 perlawanan, Shabab Al Ahli muncul sebagai pendahulu liga dengan 43 mata mengatasi dua pencabar terdekat, Al Ain (37 mata) dan Al Jazira (36 mata).

Minggu lepas, 12 daripada 14 wakil kelab termasuk Shabab Al Ahli telah menyatakan persetujuan mereka untuk membatalkan saingan liga pada musim ini setelah mengambil kira semua faktor berdasarkan situasi semasa.

Bagaimanapun, mereka tidak menyatakan sebab-sebab pembatalan liga dan difahamkan mempunyai kaitan dengan masalah kewangan.

Dalam mesyuarat bersama UAE FA hari ini, badan pengendali liga turut akan mencadangkan agar jumlah pasukan ditambah kepada 16 pasukan pada musim depan dengan dua pasukan daripada liga divisyen 2 dinaikkan pangkat ke divisyen utama.

Manakala perlawanan akhir Piala Presiden UAE diantara kelab Al Ain menentang Al Dhafra yang dijadualkan pada bulan lepas masih belum berlangsung sehingga kini.

Juara kejohanan itu akan mendapat tiket automatik beraksi di Kejohanan Super Cup menentang juara Liga Pro UAE musim depan.

Ketiadaan liga domestik juga pasti akan menjejaskan persiapan skuad kebangsaan UAE dimana para pemain mereka kekurangan perlawanan yang kompetitif untuk memastikan kecergasan di tahap terbaik bagi menghadapi kempen kelayakan Piala Dunia 2022 pada bulan Oktober.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah.

Stadium Ras Abu Aboud Ini Dibina Menggunakan Konsep Kontena, Mirip Gaya ‘Food Court’ Hipster Di Malaysia

Maya Yoshida Anggap Jurang Antara Jepun Dan Pasukan Asia Tenggara Semakin Rapat

Mekanisme Undian Kejohanan AFC U19 Championship Yang Perlu Kita Tahu Dan Fahami.