Empat syarikat bakal memeriahkan lagi saingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) musim 2019 apabila mereka tampil sebagai sebagai rakan penaja rasmi kejohanan yang akan berlangsung selama 3 bulan itu.

Syarikat yang terbabit adalah perkhidmatan telekomunikasi mudah alih digital, Yoodo selain Joma selaku jenama bagi bola rasmi pertandingan, Astro sebagai penyiar rasmi siaran langsung perlawanan terpilih menerusi platform Astro On The Go dan 100PLUS selaku minuman isotonik rasmi kejohanan.

Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai, Datuk Rosmadi Ismail nyata gembira dengan sokongan yang diberikan oleh empat syarikat di atas bagi memeriahkan lagi kejohanan futsal dalam negara.

Datuk Rosmadi Ismail
Sumber Gambar: FAM

“Terima kasih kepada Yoodo, Joma, Astro dan 100PLUS kerana sudi menjadi penaja sulung bagi MPFL. Apa yang pasti, nama anda akan tercatat dalam sejarah futsal negara kerana bersama FAM dalam penganjuran edisi pertama pertandingan futsal kebangsaan secara profesional di Malaysia.

“Dengan kehadiran penaja, saya yakin saingan kali ini akan dapat menarik minat pengikut sukan futsal di Malaysia untuk hadir memeriahkan venue perlawanan sekali gus memberi semangat kepada pemain,” katanya selepas majlis pengumuman penaja Liga Premier Futsal Malaysia di Wisma FAM semalam.

Saingan MPFL akan bermula pada hujung minggu ini dimana sembilan pasukan bagi kategori lelaki telah mengesahkan peneyrtaan. 9 pasukan tersebut adalah Kedah, Kuala Lumpur, KL City FC, Melaka, Pahang, Perak, Pulau Pinang, Selangor dan Terengganu.

Bagi kategori wanita pula, sebanyak 4 pasukan iaitu Kedah, Kuala Lumpur, Perak dan Selangor akan bersaing merebut kejuaraan.