Perak tidak menghiraukan sokongan padu diberikan penyokong Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu untuk mencatatkan kemenangan 2-1 pada ke-14 Liga Premier Malaysia 2022, sebentar tadi.

Follow VOCKET di Telegram untuk isu isu viral terkini

Kejayaan Perak itu juga turut meleburkan rekod sembilan perlawanan tanpa kalah buat pendahulu liga tersebut dimana kali terakhir mereka tewas adalah pada 11 April ketika bertemu Kuching City FC di Stadium Negeri Sarawak.

Malah, ini merupakan kekalahan pertama Kelantan di laman sendiri selepas kembali beraksi di stadium keramat mereka pada 18 Julai lalu.

Skuad kendalian Rezal Zambery Yahya itu bagaimanapun terlebih dahulu berada dihadapan seawal minit kedua apabila Jasmir Mehat menanduk masuk bola selepas menerima hantaran jauh daripada Syed Sobri Syed Mohd.

Tersentak dengan jaringan awal itu, barisan pemain Perak tampil dengan lebih kemas untuk menyusun gerakan bagi kembali menyamakan kedudukan.

Kredit Foto: TRW Kelantan FC

Usaha itu membuahkan hasil pada minit ke-14 selepas Wan Zack Haikal Wan Nor yang menerima umpanan daripada Muhamad Farid Nezal, melakukan percubaan separa voli sekali gus menewaskan penjaga gol Kelantan, Nik Mohd Amin Ahmad.

Kedudukan terus berubah berselang enam minit kemudian apabila salah faham antara Nik Amin dan Khairul Helmi Johari menyaksikan pemain pertahanan berpengalaman itu tertanduk bola ke gawang sendiri ketika beliau cuba memintas hantaran jauh Kamal Arif Azrai Shakimar.

Kelantan dilihat lebih menguasai permainan pada babak kedua dengan beberapa percubaan dijelmakan terutamanya menerusi Mohamad Ikhwan Yazek tetapi penjaga gol Perak, Muhammad Zamir Selamat cemerlang menafikan rembatan tersebut.

Pemain gantian, Muhaimin Izzudin Muhamad Asri turut mendapat peluang terbaik dari luar kawasan penalti susulan situasi sepakan penjuru tetapi rembatannya sedikit tersasar di sebelah kiri pintu gol.

Kedudukan itu kekal hingga tamat permainan bagi menghadiahkan kemenangan kelima buat Perak untuk mengumpul tujuh mata sekali gus terus kekal di tangga kesembilan liga.

Manakala, kedudukan Kelantan di tangga teratas Liga Premier [32 mata] masih tidak tergugat dengan kelebihan lima mata berbanding JDT II yang kekurangan satu perlawanan.