Berita baik untuk peminat bola sepak tanah air apabila saingan Liga Malaysia musim 2023 semakin hampir untuk menggunakan teknologi Video Assistance Referee (VAR).

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah mengadakan mesyuarat permulaan bagi menggunakan teknologi VAR dan perkara ini memberi bayangan teknologi itu bakal hadir ke saingan Liga Malaysia.

“Ia dikendalikan oleh tiga instruktur VAR dari Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) iaitu Dirk Schlemmer, Michael Bailey dan Bhaveshan Moorghen.

“Para peserta bengkel terdiri daripada kakitangan FAM dan Malaysian Football League (MFL) yang menganggotai pasukan projek VAR Liga Malaysia ini telah diberikan penerangan secara terperinci mengenai aspek-aspek yang terkandung dalam Implementation Assistance & Approval Programme (IAAP) bagi pelaksanaan teknologi VAR ini.

“Majlis perasmian bengkel ini telah disempurnakan oleh Timbalan Presiden FAM, Dato’ S. Sivasundaram selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, pagi semalam manakala majlis perasmian penutup disempurnakan oleh Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Hj Rahman,” dipetik dari kenyataan yang dikeluarkan oleh FAM.

Sebelum ini, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin sempat bertemu Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FIFA, Pierluigi Collina untuk membincang mengenai penggunaan dalam saingan liga domestik.

“Collina menjelaskan ada dua jenis VAR yang boleh menjadi pilihan kita, iaitu ‘Full VAR’ yang dilengkapi dengan minimum lapan kamera atau ‘VAR Light’ yang kurang dari lapan kamera.

“Meskipun Collina mencadangkan Full VAR namun menjelaskan VAR Light boleh juga digunakan untuk peringkat permulaan ekoran harganya yang lebih murah 50 peratus.

“Namun Collina mengingatkan kualiti pastinya jauh berbeza dengan Full VAR jika memilih untuk menggunakan VAR Light,” kata Datuk Haji Hamidin.