Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Football League (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan membayangkan tempoh penangguhan saingan Liga Malaysia mungkin akan berlanjutan sehingga bulan Jun jika kes wabak Coronavirus (COVID-19) meningkat ke tahap yang membimbangkan.

Katanya dalam Bernama, penangguhan itu tertakluk kepada saranan dan panduan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berdasarkan keadaan semasa dan tahap ancaman wabak penyakit berjangkit itu.

“Kita sentiasa berhubung dengan KKM untuk mendapatkan perkembangan terkini mengenai COVID-19 untuk membuat keputusan mengenai tempoh penangguhan perjalanan liga dan secara mudahnya, jika kes menunjukkan penurunan ia mungkin isyarat liga boleh dijalankan lebih awal.

“Tetapi melihat kepada perkembangan terkini, jumlah kes itu bertambah dan MFL bersedia sekiranya liga perlu ditangguhkan sehingga April, Mei atau Jun. Kita mempunyai perancangan dan komited untuk habiskan saingan liga musim 2020 ini,” jelasnya.

Datuk Ab Ghani Hassan
Sumber Gambar: Berita Harian

Minggu lepas, semua perlawanan Liga Malaysia dilangsungkan tanpa penonton bagi membendung penularan wabak COVID-19. Selepas mengharungi 4 perlawanan Liga Super, JDT kekal sebagai penadahulu liga selepas mengutip 10 mata.

Sementara itu, salah seorang penyokong di media sosial mencadangkan agar MFL membatalkan sahaja saingan Piala Malaysia pada musim ini bagi menyusun semula jadual liga dan Piala FA yang terjejas.

Langkah itu dianggap sebagai bertepatan kerana selepas tempoh penangguhan berakhir, MFL dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) masih perlu mengambil kira jadual padat perlawanan di peringkat AFC Champions League dan persiapan pasukan kebangsaan menghadapi kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Wabak COVID-19 setakat ini telah menjejaskan perjalanan liga di seluruh asia termasuk J-League, K-League, China Super League dan Thai League. Saingan kelayakan Piala Dunia 2022 turut menerima tempiasnya dan telah ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Baca artikel lain berkaitan dengan penularan wabak coronavirus sehingga menjejaskan aktiviti bola sepak. 

Kelab Liga Super China ‘Sangkut’ Di Sepanyol, Dua Bulan Tidak Pulang Kerana Coronavirus

Pemain Futsal Wanita Iran Meninggal Dunia Akibat Wabak Coronavirus

Beberapa Negara Tolak Jemputan Perlawanan Persahabatan Dengan Malaysia Kerana Coronavirus