Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Football League (MFL), Stuart Ramalingam mengesahkan tiada penggunaan Video Bantuan Pengadil (VAR) dalam saingan Liga Malaysia musim depan walaupun negara jiran sudah mula mempraktikkan teknologi tersebut.

Selain kosnya yang terlalu tinggi, kebanyakan stadium di Malaysia masih tiada kemudahan untuk pemasangan VAR sekaligus merencatkan usaha MFL untuk memperbaiki mutu pengadilan.

Banyak aspek yang perlu diperhalusi seperti tahap kesediaan pengadil tempatan untuk menggunakan VAR kerana teknologi tersebut memerlukan persediaan rapi serta pengetahuan khusus untuk digunakan dalam saingan Liga Malaysia.

“Isu VAR ini bukan saja untuk satu perlawanan semata-mata namun turut membabitkan aksi lain. Untuk menggunakan VAR seperti sedia maklum kosnya terlalu mahal selain kemudahan di stadium juga terhad.

“Ketika ini, banyak perbincangan dalaman dilakukan termasuk mengadakan kursus untuk pengadil selain turut ada cadangan lain bagi mempertingkatkan kualiti pengadilan.

“Jika hanya perlu digunakan di Stadium Nasional Bukit Jalil adalah tidak adil kerana kita perlu juga lihat venue lain seperti di Kota Bharu (Stadium Muhammad IV) dan Stadium Sultan Ibrahim (SSI),” kata Stuart dipetik dalam Arena Metro.

Pasukan Kuala Lumpur City (KL City) sempat merasai perlawanan yang menggunakan khidmat VAR ketika final Piala AFC 2022 menentang kelab Oman, Al Seeb pada hari Sabtu lepas.

Sebelum ini, media sukan antarabangsa, BBC Sports mencadangkan agar saingan Liga Malaysia menggunakan khidmat VAR pada perlawanan yang akan datang.

Cadangan ini muncul selepas mereka memuat naik insiden yang melibatkan pemain pertahanan import Selangor, Yazan Al Arab dan pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman apabila kedua pasukan bertemu dalam saingan Liga Super di Petaling Jaya pada bulan September lepas.

Kontroversi melibatkan pengadil tempatan bagaikan acara tahunan dalam saingan Liga Malaysia dimana setiap musim terdapat beberapa kejadian yang mengakibatkan ramai pihak mempersoalkan mutu pengadilan.