Kuota pemain import skuad Tambadau kini sudah lengkap sepenuhnya apabila mereka menandatangani pemain tengah dari Namibia, Petrus Shitembi. Ini kali pertama Shitembi beraksi di Asia selepas menyertai beberapa kelab di Afrika sejak tahun 2010.

Pemain yang berusia 27 tahun itu mempunyai 67 kaps bersama skuad kebangsaan Namibia dan pernah mewakili negaranya dalam Kejohanan Piala Afrika tahun lepas.

Pengendali Sabah, Kurniawan Dwi Yulianto menyifatkan Shitembi mempunyai kualiti sebagai seorang pemain tengah dan mampu membantu menajamkan jentera serangan pasukannya.

https://twitter.com/FootdAfrique1/status/1225346608264622081

“Shitembi ni pemain tengah yang dinamik. Dia mempunyai kekuatan di kaki kiri dan dikenali sebagai seorang pemain yang kreatif di Afrika.

“Apa yang membuatkan saya tertarik ialah dia jenis turun bawah membantu barisan pertahanan dan saya memang memerlukan pemain yang mampu bertahan dan menyerang dengan baik,” kata Kurniawan dipetik dalam News Strait Times. 

Pemain tersebut turut dibawa ke Surabaya, Indonesia, semalam, bagi mengharungi aksi pra-musim mereka sebelum memulakan saingan Liga Super yang bakal membuka tirainya dalam tempoh kurang sebulan lagi. Mereka akan menyertai kejohanan jemputan, Piala Gabenor Jawa Timur (Jatim) yang bermula pada 8 hingga 20 Februari 2020.

Selain Shitembi,  4 pemain import yang menyertai Sabah ialah Hector Omar Ramos Lebron dari Puerto Rico dan Dennis Buschening dari Thailand manakala dua lagi pemain adalah Park Tae Su (Korea Selatan) dan Rodoljub Paunovic (Serbia) yang dikekalkan daripada skuad musim lalu.

Dalam kejohanan itu nanti, Sabah akan bersaing dalam kumpulan B bersama pasukan tuan rumah, Arema FC selain dua lagi kelab dari Indonesia iaitu Persela Lamongan dan Persija Jakarta.

Sementara itu dalam kumpulan A, tuan rumah, Madura United akan bersaing dengan tiga pasukan lain iaitu, Persebaya Surabaya, Persik Kediri serta Bhayangkara FC. Sabah akan memulakan kejohanan itu bertemu Arema FC pada Selasa.

IMG-20200206-WA0003-735×400
Skuad Sabah tiba di Indonesia semalam. FOTO: BeritaSabah.com

Mereka turut dijadualkan menentang Persebaya Surabaya dalam perlawanan pemanas badan di Stadium Gelora Bung Tomo pada hari ini.

“Saya mahu pemain belajar daripada perlawanan itu. Persebaya merupakan kelab yang besar di Indonesia.

“Saya mahu menilai taktik dan pelan permainan kami, pemain perlu menggunakan peluang ini untuk membina kekuatan mental. Mereka perlu berdepan tekanan bermain di hadapan penyokong yang ramai,” jelas Kurniawan.

Baca artikel lain mengenai perkembangan pasukan Sabah melalui pautan dibawah.

Piala Gabenor Jatim 2020: Sabah Diundi Dalam Kumpulan B Bersama Persija Jakarta

Sabah Raih Kemenangan Pertama Dalam Jelajah Pra Musim Di Filipina