Bagi menjimatkan pembelian pemain tempatan berstatus bintang, skuad bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM FA) bakal dibarisi oleh 60 peratus anggota dan pegawai polis yang berbakat bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan.

Menurut pengurus PDRM, Datuk Khalil Azlan Chik, gabungan pemain import dan pemain tempatan yang berkualiti menjadi taruhan untuk menentang pasukan gergasi tempatan memandangkan skuad itu bakal beraksi dalam saingan Liga Super.

“Perkara penting perancangan dalam pasukan kerana sedia maklum sememangnya pasukan lain kuat namun tidak bermakna kami tidak boleh lawan.

“Hasrat saya tidak semestinya perlu berbelanja berlebihan kerana perkara penting adalah membangunkan pasukan daripada bawah hingga mampu meraih kejayaan.

“Kami belum memutuskan lagi pemain yang akan diambil namun ciri utama yang perlu ada, mereka yang bermain untuk pasukan adalah perlu serasi atau mampu bersama dengan skuad The Cops nanti,” katanya dalam Arena Metro.

80282500_1424066671106988_6908881334328885248_o
FOTO: PDRM FA

Bagi memenuhi syarat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang mewajibkan semua pasukan Liga Super mempunyai jurulatih berlesen Diploma AFC Profesional, PDRM telah melantik bekas pertahanan Terengganu era 90-an, Mohamad Ishak Kunju Mohamad menggantikan tempat E. Elavarasan yang memilih untuk tidak menyambung khidmatnya.

Ishak Kunju dilihat sebagai calon yang sesuai untuk menggantikan tempat Elavarasan memandangkan beliau mempunyai pengalaman selama 13 tahun dalam bidang kejurulatihan termasuk sebagai instruktor FAM dan AFC.

Beliau yang pernah melatih pasukan Marcerra United dalam Liga FAM pada musim 2018 digelar sebagai ‘kereta kebal’ ketika menyarung jersi skuad Penyu musim 1996 hingga 1997 di bawah bimbingan Abdullah Mohamad di posisi bek kiri.

Ketika zamannya sebagai pemain, beliau membantu pasukan mara ke separuh akhir Piala FA 1997 sebelum tewas dengan agregat 3-2 kepada Pulau Pinang.

Sementara itu, Khalil juga berharap beberapa syarikat swasta sudi menaja pasukan itu pada musim depan bagi membolehkan mereka membentu skuad yang mantap.

“Kami masih mengharapkan penajaan daripada syarikat swasta dalam memperkukuhkan lagi pasukan bagi membolehkan menyediakan barisan pemain terbaik untuk musim depan,” katanya.

Lagi artikel menarik mengenai perkembangan Liga Malaysia musim 2020 melalui pautan dibawah.

Osvaldo Haay Bakal Beraksi Dalam Liga Malaysia Musim Depan?

Mukhairi Ajmal Sah Sertai Pasukan Selangor

Norhafiz Zamani Misbah Gesa KAFA Segera Selesaikan Tunggakan Gaji